Saman Tony Pua terhadap Najib didengar pada Disember


MAHKAMAH
Tinggi Kuala Lumpur menetapkan  2 Disember hadapan bagi pengurusan kes saman Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib memberitahu, tarikh itu ditetapkan Hakim Rozana Ali Yusof dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Tan Cheng Leong mewakili Pua dan peguam kanan persekutuan, Habibah Haron bagi pihak kerajaan.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari 2017 atas dakwaan bekas perdana menteri itu terbabit dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB.
  https://t.me/kartelmedia
Dalam saman tersebut, Pua menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relief  lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pua mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau adalah ahli Parlimen Pekan, perdana menteri ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dan dalam kapasiti berkenaan beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak saman Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Pua juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, selepas rayuannya ditolak. Bagaimanapun, beliau mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 November 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.

Mahkamah itu memutuskan Pua boleh meneruskan samannya terhadap Najib dan kerajaan melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi sivil.