KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai tidak prihatin terhadap permasalahan dialami pencarum mereka.
Ketua Aktivis Persatuan pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika mengulas nasib dialami seorang pesakit kanser yang tular baru-baru ini berkata, isu itu dapat dielakkan sekiranya sesorang individu itu menjadi manusia lebih bertanggungjawab.
"Sifat kemanusiaan yang kurang dalam diri sesetengah individu terutama menjadi punca kepada permasalahan tersebut.
"Semua ini melibatkan isu kemanusiaan yang perlu dititikberatkan, KWSP merupakan agensi untuk membantu bukannya menyusahkan masyarakat," katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial pengalaman seorang adik kepada pesakit kanser berurusan di KWSP.
Beliau terpaksa membawa ahli keluarganya yang sakit dalam keadaan terlantar ke kuanter agensi semata-mata untuk mengeluarkan wang caruman milik individu yang sedang mendapatkan rawatan itu.
Kelmarin, seperti dijangka, agensi berkenaan tampil membuat permohonan maaf.
Sementara itu, Nadzim sekali lagi menekankan, sekiranya pihak KWSP mempunyai budi bicara yang sewajarnya permasalahan tersebut tidak akan berlaku. Malah beliau turut mempersoal mengapa kakitangan agensi tersebut tidak mencontohi teladan ditunjukkan pihak lain.
"Kalau doktor boleh datang ke rumah untuk merawat pesakit, jadi apa salahnya pihak KWSP turut bertimbang rasa untuk membuat perkara yang sama.
"Para pegawai harus mempunyai budi bicara dalam mengendalikan kes-kes tertentu seperti ini supaya matlamat mereka seiring dengan perkhidmatan yang diberikan," katanya.
Beliau turut mengingatkan agensi seperti KWSP untuk lebih peka terhadap masalah pencarumnya supaya tidak mencemarkan nama baik agensi itu
"Saya berharap pihak KWSP memandang serius terhadap perkara ini dan sentiasa memantau setiap kerja yang dilakukan supaya kejadian ini tak berlaku lagi," ujarnya.
0 Comments