Sikap 'hodoh' segelintir wakil rakyat dikecam


AHLI Parlimen digesa sentiasa mengamalkan adab perbahasan yang baik ketika sidang Dewan Rakyat.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Muhamad Alif Asyraf Abdul Rahim dalam satu kenyataan media berkata, sikap segelintir Ahli Parlimen yang mempamerkan kelakuan tidak sopan ketika persidangan baru-baru ini sangat mengecewakan.

Tegas Alif, Dewan Rakyat merupakan elemen utama dalam Parlimen Malaysia dimana berfungsi   menyelesaikan permasalahan rakyat dan menentukan hala tuju dan masa depan negara dan tidak seharusnya diperlekeh dengan insiden-insiden memalukan yang berpunca daripada sikap dangkal sebahagian Ahli-Ahli Parlimen.

”Wujud celahan-celahan yang berniat semata-mata untuk mengganggu proses perbahasan dan kandungan perbahasan pula semakin tidak berkualiti, malah penghujahan Ahli Parlimen Digital jauh lebih baik dan berkualiti.

”AMK Perak melihat tindakan-tindakan ini telah membawa imej yang sangat tidak baik buat rakyat yang sentiasa memerhati terutama pengundi-pengundi kawasan Ahli Parlimen yang terlibat.

”Sehinggakan terdapat pandangan rakyat umum menggelarkan prestasi Dewan Rakyat tidak ubah seperti zoo,” katanya.
https://t.me/kartelmedia
Dewan Rakyat yang bersidang awal minggu ini kecoh dengan pelbagai insiden. Ia antaranya berkenaan usul penukaran Speaker oleh Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abd Rahim turut didakwa membuat kenyataan  menyinggung ketika mencelah perbahasan Anggota Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto apabila mengeluarkan kenyataan "gelap, tak nampak" dan "pakai bedak".

Keesokannya Azeez diarahkan memohon maaf atas kenyataan tersebut oleh Dewan.

Bukan sekadar itu, sebahagian Ahli Parlimen dari Umno dalam rakaman sidang tersebut turut dilihat mengeluarkan kata-kata dengan nada ejekan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kpentingan negara perlu diletakkan sebagai satu keutamaan dan perbahasan juga perlu diisi dengan idea-idea yang baru bagi penyelesaian masalah rakyat," tegas Alif lagi.

Bukan pasar basah

Sementara itu, sikap ditonjolkan sebahagian Ahli Parlimen turut dikritik Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) .

Presidennya, Mohamed Arshad Raji meluahkan rasa mual dengan sikap dan kelakuan yang wakil rakyat terbabit yang dipertontonkan secara langsung di televisyen.

"Ini adalah anggota Parlimen sama yang menimbulkan kekecohan pada setiap kali sidang Parlimen.

"Rakyat Malaysia malu dengan telatah yang ditunjukkan mereka yang telah mencemari dewan yang mulia umpama pasar basah, dengan teriakan dan penggunaan bahasa kasar menjadi kebiasaan.

"Bagaimana mereka dipanggil sebagai yang berhormat sedangkan tingkah laku mereka tidak menunjukkan seseorang yang berpelajaran dan berilmu," katanya dalam satu kenyataan.

Post a Comment

0 Comments