Belanjawan 2025: PM Anwar rakam penghargaan kepada pihak terlibat

BELANJAWAN 2025 bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini akan memacu lagi pertumbuhan ekonomi selain memberi keadilan kepada rakyat terbanyak.

Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebooknya  selepas membuat tinjauan saat akhir persediaan belanjawan itu di Kementerian Kewangan pada Khamis.

Menerusi hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan merakamkan ucapan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberi cadangan bernas untuk menjayakan Belanjawan 2025.

"Kesiapsiagaan Pasukan Belanjawan dan warga Kementerian Kewangan tampak begitu rapi sewaktu saya membuat tinjauan.

“Kendatipun sibuk merangka Belanjawan yang terangkum dan penuh teliti ini, saya gembira melihat keterujaan pasukan Belanjawan dan turut bergambar bersama mereka.
 
“Usai mengambil gambar-gambar kenangan, saya menandatangani dokumen-dokumen berkaitan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan esok di Dewan Rakyat,“ katanya.

Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga yang digarap Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar.

Belanjawan 2025 merupakan belanjawan ketiga dibentangkan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Minggu lalu Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam satu nota penyelidikan menjangkakan kerajaan akan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan yang lebih tinggi sebanyak RM94.5 bilion dalam Belanjawan 2025 daripada unjuran RM88.5 bilion pada 2024, untuk meningkatkan sektor infrastruktur.

Bank pelaburan itu berkata, perbelanjaan pembangunan lain mungkin ditumpu untuk meningkatkan daya tahan pertanian, pelaburan dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan mampu milik, serta keselamatan negara di tengah-tengah ketegangan serantau.



Post a Comment

0 Comments