KEPUTUSAN Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa tiada pembubaran DUN bagi kerajaan dipimpin gabungan itu sehingga tamat tempoh pada 2023 disifatkan langkah tepat.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional Hasbie Muda dalam kenyataan berkata, ia tindakan terbaik boleh dilakukan ketika majoriti rakyat pada masa ini yang amat terpukul dengan wabak Covid-19 serentak dengan lonjakan kos sara hidup.
Keputusan untuk tidak membubarkan DUN sebelum tempoh mandat berakhir tegasnya memberi ruang untuk kerajaan fokus kepada pemulihan ekonomi dan Covid-19.
BACA:Negeri ditadbir HARAPAN tak bubar DUN hingga habis penggal
Selain itu tambahnya, kepuusan seperti itu dapat menjimatkan puluhan juta ringgit yang akhirnya dilihat hanya untuk menukar menteri besar semata-mata.
“Ia dapat menjimatkan kos sebagaimana kos RM96 juta dibelanjakan oleh SPR untuk mengadakan PRN Johor walhal kesannya hanya untuk tukar MB daripada Hasni kepada Onn Hafiz Ghazi,” katanya dipetik.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbelanja sebanyak RM141 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Mengapa membazir ketika rakyat susah? |
Perbelanjaan SPR itu bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta.