Menteri gesa majikan patuhi arahan kerja 45 jam seminggu

 


KERAJAAN memberi amaran kepada semua majikan agar mematuhi pengurangan tempoh waktu bekerja dari 48 jam kepada 45 jam seminggu yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, sejak arahan itu diluluskan, majikan diberikan tempoh sehingga 1 Jan lalu untuk melaksanakannya, justeru tidak lagi wajar memberi pelbagai alasan lapuk digunakan untuk mengingkari arahan terkandung dalam Akta Kerja 1955 (pindaan 2022) itu
 
“Tahun lalu, pindaan berkenaan undang-undang ini telah diumumkan di Parlimen disusuli kenyataan media. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan semua majikan mematuhi undang-undang tersebut.

“Jadi, saya tidak mahu ada sebarang alasan daripada mana-mana majikan mengatakan mereka tidak tahu tentang undang-undang diluluskan ini,” katanya.

Sivakumar berkata begitu pada sidang media di Pusat Pembangunan Modal Insan Perak pada Ahad sebagai mengulas laporan masih ada majikan tidak mempedulikan pindaan akta itu, termasuk dalam soal pengurangan waktu bekerja.
 
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor pada 23 Feb lalu turut membuat gesaan supaya Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan keras terhadap majikan yang mengingkari pelaksanaan arahan itu.

Parlimen tahun lepas telah meluluskan beberapa pindaan kepada Akta Kerja, juga dikenali sebagai Akta 265, termasuk pengurangan waktu kerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu.

Majikan telah diberi masa mencukupi
Sejak pindaan diluluskan, akta tersebut telah menerima perkenan diraja pada 26 April 2022 dan diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 10 Mei tahun yang sama.

Ia pada mulanya sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Sept 2022, tetapi telah ditangguhkan ke 1 Januari tahun ini (2023).

Post a Comment

0 Comments