35 berita palsu dilaporkan ke SKMM sepanjang Januari

 


KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) akan sentiasa memberi fokus untuk mengawal penyebaran berita palsu termasuk ucapan berunsur kebencian di media sosial.

Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata, usaha itu bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara tidak berada dalam keadaan terancam susulan penularan berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes sebaran berita palsu yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencatatkan peningkatan mendadak sejak kebelakangan ini.

Sepanjang Januari sahaja jelasnya terdapat 35 kes berita palsu telah direkodkan yang lebih tinggi berbanding keseluruhan kes dicatatkan sepanjang tahun lalu iaitu 48.

"Sejak 2020, jumlah kes disiasat adalah 444, bagaimanapun tahun lalu hanya 48 kes sahaja.

"Januari tahun ini kita nampak ada peningkatan kerana dalam tempoh satu bulan, sudah ada 35 kes telah disiasat.

"Kalau ikut trend ini, maksudnya sepanjang tahun ini mungkin kes yang disiasat akan mencapai lebih 350 kes," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Perak pada Ahad.

Jumlah berita palsu pada Januari meningkat
Sehubungan itu menurut Ahli Parlimen Pulai itu, kementerian melalui agensinya Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan serta kerjasama dengan penyedia media sosial akan memainkan peranan menangkis berita palsu.

Namun jelasnya rakyat juga perlu mempunyai kesedaran digital bagi memastikan kanyataan atau kandungan palsu yang boleh mencetus polimik tidak disebarkan.


Post a Comment

0 Comments