Kerajaan Perpaduan selesai libat urus Akta 355

MENTERI Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, sesi libat urus antara kerajaan persekutuan dan negeri berhubung penambahbaikan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sudah selesai dijalankan.

Mohd Na’im dipetik laporan Bernama berkata, antara penambahbaikan yang telah dibincangkan termasuklah perkara yang melibatkan peningkatan hukuman untuk jenayah syariah.

“Dalam konteks sekarang mahkamah syariah hanya diberi bidang kuasa di bawah jenayah, boleh mengenakan hukuman yang maksimum iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

“… maknanya undang-undang sedia ada melibatkan kesalahan jenayah syariah seperti menghina agama umpamanya mahkamah tidak boleh mengenakan hukuman lebih dari itu, jadi saya sebagai menteri, kita sedang usahakan untuk menyemak semula akta yang kali terakhir dipinda pada tahun 1984 ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sesi tersebut, beliau menyifatkannya sebagai satu langkah penting memandangkan perkara berkaitan agama Islam merupakan hak negeri-negeri berdasarkan Perlembagaan.
Mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang mahu Majlis Kerja Tertinggi Umno membawa usul meningkatkan hukuman terhadap individu yang menghina agama dibentangkan di Parlimen beliau menegaskan, undang-undang syariah yang hanya terpakai untuk pesalah beragama Islam sedang diperkasa menerusi pindaan akta itu dan akan dibentangkan usai proses diperlukan.

“Jika ada urusan berkaitan penghinaan agama Islam oleh orang bukan Islam ia terletak di bawah bidang kuasa polis, pendakwaan dan mahkamah sivil.

“(Bagi orang Islam pula) Apa yang disebut oleh Dr Akmal Salleh itu boleh berlaku sekiranya akta itu nanti kita pinda, kemudian barulah negeri-negeri boleh buat pindaan pada enakmen dan akta jenayah syariah masing-masing untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman, termasuklah bagi pesalah-pesalah yang menghina agama Islam,” katanya menurut laporan tersebut.

Post a Comment

0 Comments