KPM teliti cadangan beri pelajar Tingkatan Enam elaun sara hidup

KERAJAAN sedang mempertimbangkan penyediaan elaun kos sara hidup pelajar Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata pihak kementerian masih berada dalam peringkat penelitian bagi memperincikan cadangan itu pada waktu ini.

Cadangan terbabit kemudian akan diangkat ke peringkat belanjawan negara menerusi Kementerian Kewangan dalam melihat keperluan yang ada dalam cadangan itu.

"Kita masih lagi dalam peringkat memperincikan cadangan berkenaan dan ia sebenarnya adalah susulan hasil daripada komitmen KPM dan kerajaan untuk menaik taraf dan memberikan penjenamaan semula.kepada Tingkatan Enam.
 
"Disebabkan itulah Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Pra Universiti dan ia adalah inisiatif yang kita hendak beri tumpuan pada mereka (pelajar Tingkatan Enam), adalah untuk melihat bagaimana sudut elaun mereka dan peranan yang dimainkan pentadbiran Kolej Tingkatan Enam.

"Malah, cadangan ini juga memberi peranan besar terhadap peluang pendidikan kepada pelajar Tingkatan Enam ini diperluaskan dan dipertingkatkan kualitinya," katanya.

Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri Daurah Hadis 40 Imam Nawawi KPM Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Kangar, yang turut dihadiri Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Pendidikan Perlis, Ros Aza Che Ariffin.
 
"Perkembangan perincian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kerana kita yakin pelajar Tingkatan Enam sekarang mempunyai potensi baik dan menjadi salah satu akses pendidikan di negara ini," tambahnya.

Terdahulu Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa memaklumkan perkara itu. Ia jelasnya sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajar menyertai Tingkatan Enam.

Beliau sementara itu menjelaskan, pihaknya juga mempertimbangkan pemberian elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam..

Post a Comment

0 Comments