Poster provokasi: Warisan lapor polis


SATU laporan polis dibuat susulan bahan kempen provokatif yang dipasang pihak tidak bertanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Laporan itu telah dibuat di Balai Polis Bongawan oleh beberapa Exco Parti Warisan Sabah (Warisan) kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Setiausaha politik Menteri Pelajaran dan Inovasi, Rapahi Idris berkata penyokong Warisan berasa tersinggung dengan pemasangan poster bersifat provokasi itu yang tertera ayat “Warisan menang PATI senang, anda susah”.

“Saya meminta pihak berkenaan menurunkan poster tersebut. Jika tidak, pihak kami akan menolong menurunkan poster tersebut secara berhemah,” katanya dipetik laporan Awani.

Difahamkan, kehadiran poster tersebut dikesan orang kampung dan penyokong Warisan yang melalui kawasan berhampiran Bulatan Kimanis.

Satu lagi poster yang diedarkan tertera perkataan “BN dahulukan rakyat, Warisan dahulukan PATI”.

Setakat lapan hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRL) Kimanis, pelbagai isu dimainkan kedua-dua daripada parti Barisan Nasional (BN) dan Warisan termasuk berkaitan Pas Sementara Sabah (PSS).

Sementara, jurucakap polis Balai Bongawan ketika dihubungi memaklumkan telah menerima laporan tersebut.

Post a Comment

0 Comments