TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ditemani suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menonton filem animasi, Ejen Ali The Movie semalam.
Lebih menarik,mereka turut membawa bersama 50 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) dari Taman Sinar Harapan, Cheras untuk menonton tayangan filem tersebut.
Ia sebagai sebahagian program tontonan tayangan khas Ejen Ali The Movie anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di mmineplexes, The Curve.
Dr Wan Azizah yang dipetik media berkata, sesi khas itu bertujuan membawa keceriaan kepada warga Taman Sri Harapan yang berusia lingkungan 3 hingga 16 tahun, berasaskan nilai kekeluargaan dan semangat setiakawan.
Lebih penting jelasnya, ia sebagai sebahagian proses integrasi mereka dengan masyarakat.
Sementara itu, Dr Wan Azizah turut memuji potensi industri perfileman dan animasi tempatan yang mampu pergi jauh dan melahirkan karya berkualiti setanding dengan negara luar.
Filem animasi Ejen Ali misalnya, mempunyai kualiti yang amat bagus dan sarat dengan latar cerita menarik.
“Saya berasa bangga potensi perfileman terutamanya di bawah bakat anak-anak bangsa negara kita sudah digilap dan dibawa ke tahap sebegini hebat,” katanya lagi.
Ejen Ali the Movie, filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation itu meraih kutipan sebanyak RM30 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam tempoh enam minggu tayangannya.
Ia mengisahkan Ali, 12, direkrut menjadi penyiasat di agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency.
0 Comments