Air Terjun Gunung Pulai 1 bebas kencing tikus



KAWASAN
Air Terjun Gunung Pulai 1 yang pernah ditutup beberapa kali susulan kes kencing tikus (leptospirosis)  pada 2018, kini bebas dari virus berkenaan.

Pengerusi Koperasi Sri Sekawan Kulai Jaya Berhad, Jamalludin Abd Hamid yang dipetik laporan Sinar berkata, sepanjang tahun lalu, tiada lagi kes jangkitan kencing tikus dilaporkan.

Jelasnya lagi, usaha membersihkan kawasan itu yang sebelumnya berada dalam keadaan kotor telah dijalankan dengan beberapa badan sukarela.

"Pihak koperasi yang banyak terlibat dengan aktiviti pelancongan sebagai sumber ekonomi. Penduduk kampung sangat berterima kasih kepada badan sukarela yang membantu pemuliharaan kebersihan kawasan air terjun di sini.

"Justeru pada tahun ini, kita mahu sasarkan tiada lagi kes kencing tikus dengan menganjurkan program Hari Kebersihan Sedunia pada bulan April nanti," katanya.

Difahamkan, ekurang-kurangnya lima badan sukarela dengan penglibatan hampir 50 peserta datang ke Air Terjun Gunung Pulai 1 untuk mengutip sampah setiap minggu.

Sebagai rekod, Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut.

Keadaan sampah sarap yang dibuang sewenangnya disifatkan sebagai antara punca penularan wabak ini di beberapa kawasan perkelahan.

Post a Comment

0 Comments