Agong titah Speaker Dewan datang menghadap

 


SPEAKER Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Speaker Dewan Negara Rais Yatim dilapor telah dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

The Vibes melaporkan Azhar dan Rais akan menghadapi Yang di-Pertuan Agong pada 11 pagi Selasa dan ia dipercayai berhubung perkara persidangan semula Parlimen sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Shamsuddin yang dipetik laporan media mengesahkan perkara itu.

Perkembangan ini hadir ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Mahiaddin Md Yassin dikritik kerana dilihat keberatan untuk membuka semula Parlimen dan hanya bercadang mengadakan sidang paling awal pada Ogos.

Tindakan itu dilihat bertentangan dengan titah Seri Paduka yang baru-baru ini bertitah dan mahu Parlimen bersidang semula secepat mungkin bagi membolehkan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Parlimen.

Untuk rekod, Parlimen telah digantung sejak 11 Jan apabila darurat berkuat kuasa. Namun pada lewat Februari lalu, Baginda pernah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang meskipun darurat berkuatkuasa.

Namun pandangan Sultan Abdullah dilihat seolah-olah tidak diberi keutamaan oleh kerajaan dengan pelbagai alasan diberikan.

Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada usaha menggunakan pejabat Peguam Negara dan Speaker Parlimen untuk melengahkan sesi Parlimen.

 Azhar dan Rais dititah menghadap Agong


Ketika Ahli politik kerajaan dan pembangkang rata-rata menggesa persidangan segera diadakan,  Azhar dan Rais tampil mencadangkan persidangan khas Parlimen diadakan pada awal Ogos.


Persidangan khas Parlimen itu difahamkan bertujuan untuk berbincang bagaimana sesi Parlimen hibrid (separa dalam talian dan separuh secara fizikal), boleh diadakan.

Post a Comment

0 Comments