Anwar dakwa ada usaha sistematik lengahkan sidang Parlimen


KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada usaha sistematik sedang digerakkan bagi melengahkan sesi Parlimen walaupun Agong baru-baru ini bertitah agar persidangan diadakan segera.

Bercakap di laman Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, usaha itu turut menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen.

“Malaysia dilihat sebagai antara negara yang paling lemah di pelbagai segi dalam mengawal pandemik, samada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Dalam masa yang sama, ekonomi negara terus lingkup di mana jutaan warga akan jatuh miskin. Malah, ada beberapa pakar ekonomi juga meramalkan kita akan menghadapi kemelesetan yang panjang,” katanya.

Semalam, Peguam Negara Idrus Harun berkata Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berhubung langkah memanggil sidang Parlimen.

Perkara itu katanya, adalah menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Malah selain itu beliau berkata, tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Sebelum ini adiknya, Azhar Harun yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dilapor media sebagai berkata Mahiaddin Md Yasin sebagai perdana menteri adalah individu yang berhak menetapkan tarikh untuk parlimen bersidang.

Sementara itu tegas Anwar, kenyataan Idris berlatarbelakangkan kenyataan oleh Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara.

Katanya, ini akan mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan.

“Agong hanya menyampaikan kekecewaan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, apatah lagi kerajaan ini masih gagal mengawal wabak meski dikurniakan kuasa darurat.

 Mengapa PN sangat payah mahu buka Parlimen?
“Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar, sedangkan kilang-kilang, restoran-restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi,” tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Menyifatkan keadaan ketika ini sebagai sudah terlambat untuk membetulkan keadaan tetapi jelas Anwar untuk mula membetulkannya, Parlimen mesti segera bersidang.
 

Post a Comment

0 Comments