KUMPULAN doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) mendesak supaya semua bentuk gangguan terhadap petugas kesihatan oleh penguat kuasa undang-undang dihentikan segera
Sekretariat kumpulan itu membuat desakan itu selepas ramai petugas kesihatan yang menyokong kempen doktor kontrak'Code Black' di media sosial mendakwa disiasat oleh pihak berkuasa.
“Gerakan Hartal Doktor Kontrak ingin memberi perhatian mengenai petugas kesihatan yang menerima gangguan daripada penguat kuasa undang-undang kerana menyokong dan bersimpati dengan rayuan doktor kontrak.
“Ramai petugas kesihatan melaporkan mereka menerima pelbagai ancaman dan disiasat kerana menunjukkan sokongan terhadap doktor kontrak di media sosial,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Pada Selasa, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut membangkitkan isu sama.
Mereka menyatakan kebimbangan terhadap siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap petugas kesihatan yang terlibat dengan kempen menyokong doktor kontrak tersebut.
“Walaupun MMA sedar bahawa polis dibenarkan melakukan siasatan tetapi kami mengutuk keras apabila ia mensasarkan doktor yang menyokong kempen ini dalam menjuarai isu petugas kesihatan di negara ini.
"Pegawai perubatan seperti rakyat Malaysia lain berhak untuk bersuara, walaupun paling tidak dengan menunjukkan warna," katanya.
Semalam media turut melaporkan bahawa pihak polis bakal menjalankan siasatan terhadap seorang doktor gigi berhubung klip rakaman video mengenai kempen 'Code Black'.
Rakaman berdurasi selama 6 minit 49 saat itu memaparkan ucapan individu berkenaan yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan memberi amaran bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba mengganggu keharmonian negara.
Sementara itu, Kumpulan itu juga bersetuju dengan kenyataan MMA yang berkata, “hak dan kebebasan mereka untuk menunjukkan solidariti dengan doktor kontrak dengan menyokong Gerakan Hartal Doktor Kontrak dan kempen ‘Black Monday’ oleh MMA bukan satu pelanggaran undang-undang.
Malah mereka menyifatkan sebarang bentuk gangguan atau cubaan menghalang suara mereka dianggap sebagai pelanggaran hak asasi mereka.”
Tegas kumpulan itu lagi, permintaan mereka amat penting demi masa depan doktor kontrak dan sistem kesihatan Malaysia secara amnya.
Difahamkan Kempen 'Code Black' mengambil namanya sempena kod kecemasan hospital yang menunjukkan ancaman kepada kakitangannya, dalam hal ini, ancamannya kepada pegawai perubatan kontrak.
![]() |
Kumpulan doktor kontrak gesa henti siasatan |
Bantahan ini akan menyaksikan doktor kontrak meninggalkan pekerjaan mereka selama sehari manakala rakan-rakan mereka akan mengambil alih tugasan menjaga perawatan pesakit.
0 Comments