Ke Istana, GBMRM serah memorandum desak Mahiaddin letak jawatan


AHLI PARLIMEN Pagoh, Mahiaddin Md Yassin digesa melepaskan jawatannya dengan terhormat sebelum Jumaat ini.

Gesaan itu dibuat Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM)  seperti dilapor portal Jom Channel semalam. 

Merujuk kepada peningkatan kes positif harian baharu yang kini meningkat sehingga lima angka, GBRM mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Mahiaddin sebagai telah gagal.

Kerajaan itu tegas mereka jika diberikan lagi peluang memerintah dikhuatiri akan lebih ramai rakyat yang akan terkorban akibat wabak tersebut.

Ini kerana kerajaan kini didakwa gagal mengawal pandemik Covid-19 dengan kes positif terus tinggi sehingga mencatatkan rekod tertinggi semalam.

“Rakyat sudah bagi masa yang cukup panjang kepada kerajaan Mahiaddin. Semalam pun dah 11,000 kes dan kita lihat kematian bertambah begitu juga kadar bunuh diri yang sudah tidak terkawal.

“Sudah sampai masanya kerajaan yang tiada keabsahan ini untuk berundur secara terhormat, bukan lagi diminta parti politik tetapi badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat biasa,” kata Koordinator GBMRM, Mustafa Mansor.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyerahkan Memorandum Rakyat Malaysia kepada wakil pihak istana di luar Pintu 3 Istana Negara pada Rabu.

Sebagai rekod, Malaysia mencatatkan kes harian baharu melebihi 11,000 kes untuk dua hari berturut-turut.

Mahiaddin digesa letak jawatan sebelum esok
Gesaan supaya Mahiaddin berundur semakin kuat sejak kerajaan didakwa gagal meredakan penularan wabak itu walaupun negara diletak dibawah perintah darurat dengan rakyat dikenakan pelbagai sekatan perjalanan.

Sementara itu Mustafa menambah, kini sudah masanya  kerajaan Mahiaddin memberi laluan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai majoriti di Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Jelasnya, ia kerana kerajaan kini sudah tidak lagi mendapat majoriti susulan penarikan sokongan oleh Umno pada Khamis lepas.