Negeri ditadbir HARAPAN mula cari jalan buka DUN


KERAJAAN Negeri ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat mengambil tindakan proaktif bagi membuka semula sidang di Dewan undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Ia susulan titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Raja-Raja Melayu bahawa sidang Dewan mesti diadakan segera.

Dipetik laporan media, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Speaker Dewan Negeri Selangor bagi memulakan perancangan membuka secepat mungkin persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perbincangan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Titah Agong dan Raja-raja Melayu melambangkan keprihatinan dan kepedulian Baginda-baginda Tuanku terhadap nyawa dan kehidupan rakyat adalah amat dihargai dan dinanti-nantikan.

“(Ini) adalah selaras dengan aspirasi rakyat agar usaha menangani Covid-19 dapat dinilai dan dibahas penambahbaikannya di samping memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari laman Facebook.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, beliau berhasrat menggunakan peruntukan sedia ada dalam Ordinan Darurat untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong melalui Yang di-Pertua Pulau Pinang untuk DUN bersidang segera.

“Berdasarkan kepada pendirian kerajaan negeri di atas, ketua menteri akan mendapatkan persetujuan Yang di-Pertua Pulau Pinang untuk menulis warkah kepada Agong akan niat kerajaan negeri agar dapat dipertimbangkan oleh Agong.

“Dalam apa jua keadaan, kerajaan negeri mahupun Dewan Undangan Negeri tidak akan sesekali mengambil risiko dan mengabaikan tanggungjawab berhubung kaedah serta prosedur yang akan digunakan bagi mengawal jangkitan pandemik Covid-19 semasa persidangan,” katanya dipetik.

Kon Yeow turut berkata,  Kerajaan Negeri akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara, khususnya jika penularan Covid-19 masih tinggi di Pulau Pinang bagi mencari jalan bagi membolehkan sidang diadakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri Sembilan akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.

 Mula rintis jalan buka sidang DUN
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, perbincangan telah diadakan bersama Speaker DUN Zulkefly Mohamad Omar bagi merancang pelaksanaan persidangan DUN negeri itu semalam.

“Seterusnya saya akan mempersembahkan hasil perbincangan tersebut kepada Tuanku Muhriz bagi mendapatkan perkenan baginda agar persidangan DUN dapat diadakan.

“Persidangan DUN hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Post a Comment

0 Comments