PEMUDA Pakatan Harapan (HARAPAN) telah membuat laporan polis diatas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.
Laporan itu dibuat susulan kenyataan biadap yang didakwa mempersenda Yang di-Pertuan Agong dikeluarkan Takiyuddin dalam wawancara disiarkan menerusi Facebook Harakahdaily.net susulan titah baginda yang mahu Parlimen bersidang segera.
“Sebagai seorang menteri yang tahu mengenai undang-undang, Takiyuddin sepatutnya mengambil masa untuk mengkaji titah Yang di-Pertuan Agong.
“Kamu (Takiyuddin) seorang menteri bukan budak sekolah, teliti dan tengok setiap patah titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” tegas Ketua Pemuda HARAPAN, Shazni Munir Mohd Ithin pada sidang media selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi.
Selain di Dang Wangi difahamkan laporan serupa dibuat secara serentak di Kedah dan Melaka.
Pada Rabu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara kerana menyedari peranan pentingnya bagi membincangkan isu berkaitan Covid-19.
Ia disusuli kenyataan bersama Raja-Raja Melayu yang berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang semula secepat mungkin.
Takiyuddin yang merupa Setiausaha Agong PAS bagaimanapun berkata, walaupun Agong menitahkan agar Parlimen bersidang segera, Seri Paduka jelasnya tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan sambil menambah Mahiaddin Md Yassin sudah mengumumkan bahawa sidang dewan rakyat itu boleh diadakan paling awal September atau Oktober ini.
Sementara itu, Shazni menggesa Pemuda HARAPAN di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung kenyataan Takiyuddin.
Gesa supaya Takiyuddin disiasat |
“Kalau beliau mempunyai niat untuk memperlekeh dan mempertikaikan Yang di-Pertuan Agong, sebagai seorang menteri memang satu kesalahan amat berat. Wajar polis menjalankan siasatan terhadap menteri berkenaan (Takiyuddin),” katanya lagi.
0 Comments