P.Pinang sasar beralih ke fasa 3 PPN Ogos ini

 



KETUA MENTERI Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyasarkan negeri pimpinannya itu akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos.

Menurut Kon Yeow, bagi mencapai sasaran itu setiap pusat pemberian vaksin (PPV) perlu mengoptimumkan kapasiti pengoperasian masing-masing dengan kadar suntikan dua dos pada tahap 40% dan menggesa rakyat di negeri itu bersama memainkan peranan melawan wabak Covid-19.

“Bagi memastikan hasrat peralihan ke Fasa 3 PPN tercapai, saya menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang supaya bersama berganding bahu memastikan dua lagi petunjuk ambang, iaitu purata tujuh hari kes harian dan keupayaan sistem kesihatan awam di bawah PPN terus berada di bawah paras ditetapkan,” katanya.

Berdasarkan operasi PPV ketika ini jelasnya, kapasiti maksimum dos harian perlu mencecah sekurang-kurangnya 20,000 suntikan dan ia mampu dicapai.

Sementara itu beliau turut memberitahu bahawa mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Covid-19 yang bersidang semalam turut dimaklumkan bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 3 bagi negeri itu sudah bermula minggu ini.


Pulau Pinang beralih ke Fasa 2 PPN pada 7 Julai lalu selepas mencapai tiga nilai ambang ditetapkan kerajaan.

Tiga petunjuk itu membabitkan liputan vaksin meliputi 10% penduduk, penggunaan katil ICU sederhana dan nilai ambang kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk).