LAGI desakan supaya Presiden BERSATU, Mahiaddin Md Yassin segera meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Jika sebelum ini, warganet menggerakkan memorandum dengan tanda pagar #MuhyiddinOut di laman Change.org, desakan kali ini dibuat beberapa kumpulan pelajar.
Lima belas kumpulan - yang menamakan gabungan mereka sebagai Sekretariat Mahasiswa Marhaen (SMM) - dikesan menyebar luas kempen #SiswaMinta5 di media sosial sehingga menjadi tular
Desakan itu dibuat atas alasan Ahli Parlimen Pagoh itu gagal mengetuai negara dalam pengurusan pandemik Covid-19.
Jurucakap kumpulan itu Farhan Rosli, 25, yang dipetik laporan media kempen itu juga dibuat berikutan “isu mahasiswa yang tidak berkesudahan”.
Farhan yang juga Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menjelaskan kempen bagi mendesak Mahiaddin meletak jawatan itu sekali gus membawa mesej mahasiswa bersama gerakan lain seperti kempen Bendera Putih dan Bendera Hitamyang digerakkan sebelum ini.
Sebagai rekod, kempen Bendera Putih digerakkan bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada pihak memerlukan semasa pandemik manakala Bendera Hitam pula sebagai tanda protes terhadap “kegagalan” kerajaan.
Selain mahu Mahiaddin meletak jawatan, SMM juga mendesak kerajaan mengurangkan yuran universiti, memberikan vaksin kepada mahasiswa dan petugas institut pengajian tinggi serta memperkenalkan “strategi gelembung” dan menutup sektor kilang.
![]() |
Desakan supaya Mahiaddin berundur makin kuat |
“Kami mencadangkan pihak Miti untuk melaksanakan strategi membataskan pergerakan pekerja kilang atau terus menutup semua kilang bagi mencegah penyebaran Covid-19 dan sekiranya menteri Miti gagal mengatasi perkara ini, beliau sewajarnya mengundur diri,” kata mereka lagi.
0 Comments