Gantung Parlimen : Semakan kehakiman telah difailkan


PERMOHONAN semakan kehakiman berkaitan penggantungan Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibawah kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan bersama berkata, tindakan undang-undang dibuat itu bagaimanapun bukan bertujuan untuk mencabar proklamasi darurat yang diisytihar pada Januari lalu.

Sebaliknya, ia bagi menentukan bahawa kaedah-kaedah di bawah Ordinan Darurat tersebut yang membenarkan penggantungan Sidang Parlimen dan DUN seperti diumumkan pentadbiran Muhyiddin Yassin adalah tidak sah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri bersama Kabinet telah bertindak secara tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Sidang Parlimen dan DUN.

"Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan wakil rakyat di seluruh negara memerlukan persidangan pada waktu kritikal ini bagi mengumpulkan suara rakyat yang diwakili, membincangkan dan meluluskan undang-undang, dasar atau langkah bagi menangani penularan wabak Covid-19 serta urusan lain membabitkan pentadbiran kerajaan dan kehidupan rakyat.

"HARAPAN mengambil tindakan mahkamah ini atas komitmen dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan bersama itu pada Khamis.

Kenyataan bersama itu diwakili Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook.

Pada Rabu, HARAPAN menghantar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub (Simpang Jeram), Datuk Johari Abdul (Gurun) dan Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi) bagi memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tindakan Muhyiddin Yassin menggantung sidang Parlimen dikecam parti politik pembangkang dan juga Umno.

 Bukan untuk cabar proklamasi darurat
Mereka berpandangan tiada keperluan untuk dewan digantung terutama ketika perintah darurat, malah persidangan perlu segera dijalankan bagi membincangkan isu rakyat yang sedang berdepan ancaman Covid-19.


Penggantungan sidang Parlimen juga dilihat sebagai langkah untuk kerajaan Muhyiddin kekal berkuasa, terutama setelah Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa telah hilang sokongan dalam Dewan Rakyat.