Menteri PN berbeza darjat? soal Ahli Parlimen Kepong

 


RAKYAT berhak mendapatkan penjelasan daripada pihak polis sama ada tindakan Menteri Wilayah Persekutuan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata begitu susulan kritikan orang ramai terhadap Ahli Parlimen Ketereh itu setelah gambarnya berjalan untuk tujuan bersenam bersama mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar.

Sebagai rekod, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini mengeluarkan arahan yang mengehadkan dua orang untuk joging bersama di kawasan kejiranan.

“Sekiranya tidak (langgar SOP) apakah alasannya? Bukankah perbuatannya sudah terang lagi bersuluh melanggar SOP? Mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti beriadah lebih dua orang dilarang sama sekali.

“Difahamkan bahawa mereka berjalan di laluan berasingan dan pertemuan adalah secara kebetulan.

"Sekiranya itu penjelasannya, biarlah kenyataan ini dipakai di hadapan majistret,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Annuar sebelum ini menafikan telah melanggar SOP dengan mendakwa ketiga-tiga mereka membuat aktiviti ‘brisk walking’ dan terserempak di persimpangan jalan.

Bagaimanapun alasan itu tidak dapat menghentikan rasa kurang senang orang ramai terutama apabila isu sama melibatkan pemimpin negara sering didedahkan.

Sementara itu Lip Eng berkata,  Setiap kali berita seperti itu dilaporkan akhbar, dakwanya, pihak berkuasa seolah-olah pura-pura tidak melihat apa yang dilakukan oleh golongan terlibat manakala perbincangan mengenai hukuman pula dipanjang-panjangkan.

Sedangkan ramai orang awam disaman dan dikenakan tindakan tegas dan kebanyakan daripada mereka tidak berpeluang untuk menjelaskan situasi.

“Apabila rakyat biasa melanggar SOP, tindakan serta-merta dikenakan ke atas mereka.

“Mengapakah sifat pilih kasih ini diamalkan oleh pihak berkuasa? Apakah menteri mendapat imuniti apabila mereka melakukan perbuatan melanggar SOP?” Soalnya sambil menggesa supaya menteri itu disiasat.

 Annuar Musa dakwa tak langgar SOP
“Sekiranya beliau (Annuar) tidak disiasat, rakyat sudah pastinya akan berang dan mempertikaikan kewibawaan pihak polis dalam menjalankan tugas.

“Hari demi hari kerajaan hanya membuktikan bahawa menteri dan rakyat adalah dari darjat yang berbeza,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments