Tiada sebab munasabah siasat Anwar - William Leong


AHLI PARLIMEN Selayang William Leong mempersoalkan apakah terdapat ada campur tangan politik di sebalik tindakan polis menyiasat Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk seri Anwar Ibrahim.

Melalui satu kenyataan, Leong berkata, beliau melihat tidak ada "sebab yang munasabah" bagi siasatan itu dijalankan.

"Tidak ada apa-apa hasutan yang dikatakan oleh Anwar. Tambahan pula, gesaan Anwar jelas termasuk dalam Seksyen 3 (2) Akta Hasutan 1948.

"Saya tidak boleh membayangkan apa yang dianggap sebagai menghasut atau memiliki kecenderungan menghasut,” katanya yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang undang-undang.

Terdahulu, Bukit Aman dilapor sedang menyiasat Anwar di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Ia dikaitkan kenyataan presiden KEADILAN itu yang meminta ahli-ahli parlimen mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan pengisytiharan Darurat.

Anwar juga memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah tidak mengikut perlembagaan.
 
Sementara itu Leong berpendapat kenyataan Anwar itu tidak mempunyai niat untuk menimbulkan kerusuhan, ketakutan atau kebimbangan awam.

Difahamkan, Terdapat beberapa pengecualian diperuntukkan dalam Akta Hasutan, antaranya Seksyen 3(2)(a) yang menyatakan jika sesuatu ucapan itu kecenderungannya hanyalah untuk menunjukkan bahawa raja telah disalah maklum atau tersilap dalam langkahnya, maka ucapan itu tidak dianggap sebagai hasutan.

Apa hasutan dibuat Anwar?, soal William


Terdahulu, Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin tampil mempertahankan Anwar susulan siasatan yang dijalankan terhadapnya.

BACA: Bekas menteri undang- undang pertahan tindakan Anwar

Hanipa menegaskan sepanjang pengetahuannya, sekalipun gesaan membatalkan perisytiharan darurat disuarakan, ia bukanlah suatu jenayah.

Tambahnya, walaupun mungkin ada pihak tidak setuju dengan kenyataan Anwar, namun usaha kaitkan kenyataan Anwar itu dengan mana-mana kesalahan di sudut undang-undang berhubung gesaan itu adalah tidak dapat diterima.
 

Post a Comment

0 Comments