Berundur jika enggan pikul tanggungjawab, tegas Dr Dzulkefly


MENTERI Kesihatan,  Adham Baba dan dua timbalannya digesa untuk mengambil tanggungjawab dalam pembuatan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau bertindak secara hormat untuk mengundurkan diri.

Gesaan itu disuarakan bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly selepas Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau hanyalah utusan yang mewakili pandangan kolektif pakar kementerian itu yang bekerja di belakang tabir.
 
Dzulkefly menegaskan bahawa Adham bersama dengan timbalannya Dr Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang - mesti bekerja sebagai satu pasukan dengan birokrat dan teknokrat Kementerian Kesihatan.

Ketika ini dakwanya, Malaysia telah kehilangan kepemimpinan politik dan negara berjalan seolah-olah "hampir secara automatik".

"Orang ramai berkata, 'Sekarang ada tiga orang. Seorang menteri dan dua timbalan menteri, di mana mereka?

"Itulah sebabnya mengapa masyarakat sekarang mengatakan menteri dan dua timbalannya 'makan gaji buta'...

"Kenapa? Kerana masyarakat tidak melihat kepimpinan mereka atau dilihat sebagai mengambil tanggungjawab," tegasnya sambil mengingatkan bahawa menteri akan dipertanggungjawabkan atas semua keputusan kerajaan.

Sementara itu tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi, selepas beliau meninggalkan kementerian terbabit- susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ekoran 'Langkah Sheraton' segala bebanan bagi menghadapi pendemik Covid-19 dilihat seolah-olah telah diletakkan kepada Dr Noor Hisham terutama dalam mengendalikan sidang media setiap hari.
 
"Keadaan telah bertambah buruk dan memerlukan mereka dilihat dan bertanggungjawab, bukan hanya terhadap pengarah kesihatan sahaja.

 Letak jawatan jika enggan galas tanggungjawab
"Anda mesti terlihat, jangan takut dikritik. Dan jangan hanya berusaha untuk dipuji,” katanya lagi.

Tegasnya, jika ketiga-tiga mereka gagal memenuhi tugas menangani krisis kesihatan yang sedang berlangsung, mereka patut "melakukan hal yang baik" dengan mengundurkan diri atau menyerahkan jawatan mereka kepada perdana menteri dan membiarkan perdana menteri memutuskan langkah-langkah selanjutnya.