KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) sekali lagi disalahkan susulan kejatuhan ketara aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara bagi tahun 2020 sebanyak 68% ke USD 2.5 billion.
Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamad berkata, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) semua negara di rantau ini mencatat prestasi lebih baik daripada Malaysia walaupun keseluruhannya FDI jatuh 31%.
FDI Singapura jatuh 37 % kepada USD 58 billion, Indonesia 24% kepada USD 18 billion dan Vietnam 10% kepada USD 14 billion. Bagaimanapun FDI Filipina naik 29 % kepada USD 6.4 billion .
Kejatuhan FDI Malaysia disifatkan sebagai yang paling teruk dalam kalangan negara di rantau Asia Tenggara .
Jazlan yang merupakan bekas timbalan menteri dalam negeri semasa pentadbiran BN sebelum ini berkata, adalah jelas semua kementerian yang dipertanggungjawabkan mengurus arah tuju ekonomi negara gagal setelah hampir satu tahun berkuasa .
Kata beliau kerajaan PN tidak berfikir di luar kotak dalam perancagan masa depan ekonomi dan kewangan negara dan “kita kehilangan pelaburan dan juga bakal pelabur”.
Nur Jazlan yang merupakan seorang akauntan bertauliah dipetik laporan FMT turut berkata, ketika sektor pembuatan tertekan dengan pelabur menarik diri atau tidak berminat melabur di Malaysia, sektor peladangan pula menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.
“Ketersediaan pekerja akan akhirnya menentukan harga komoditi dan permintaan global.
“Meski pun demikian semua kementerian yang ada seakan-akan hilang punca dan tidak tahu apakah yang harus dilakukan untuk menangani cabaran ini.
“Kita tertekan dari pelbagai sudut, tetapi pemimpn PN tidak mengerti. Fokus mereka hanya untuk bergayut kepada kuasa tanpa mempedulikan apa juga harganya dan penderitaan rakyat,”kata sambil menegaskan bahawa jika PN terus dengan trend ini dalam mengurus negara, Malaysia menuju ke arah “malapetaka“ yang akhirnya mengakibatkan kegagalan.
![]() |
Bimbang cara negara ditadbir |
Tegasnya, keadaan itu adalah sebabnya Umno sebagai parti mesti menjauhkan diri daripada PN bagi mengelakkan Ahli Parlimennya dihukum pengundi pada pilihan raya umum 15 kelak.