AMK Selangor gesa MB dengar suara rakyat



PENTADBIRAN negeri Selangor digesa mendengar suara dan protes dibangkitkan rakyat dalam isu Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) untuk tujuan pembangunan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sendiri sudah membuat keputusan berhubung isu itu tahun lalu, malah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut bertitah pada 2019 bahawa hutan simpan di Selangor perlu dilindungi.

“Tidak sembang kencang pun. Tahun lepas dalam sidang dewan negeri Selangor, saya sudah bawa usul persendirian desak kekalkan semua hutan simpan seluruh negeri, dilulus sebulat suara. Kami di Selangor bukan pak turut, benda tidak betul kami tegur dan bantah,” katanya di Twitter.

Najwan sebelumnya merujuk kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari yang dilapor berkata, kerajaan negeri masih mempertimbangkan rancangan memansuhkan HSKLU untuk tujuan pembangunan.
 
Kenyataan Amiruddin itu turut menerima kecaman kumpulan aktivis dn pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kenyataan terbaharu Amirudin yang mahu pembangunan di kawasan terbabit diteruskan jelas menunjukkan beliau tidak mengendahkan lebih 40,000 bantahan yang dibuat pelbagai pihak.

Sementara itu Najwan berkata, di Amerika Syarikat, presidennya Joe Biden turut mengungkap tentang keadilan untuk alam sekitar dan menekankan kepentingan kerajaan dalam menangani fenomena perubahan iklim semasa.

 S'gor wajar mendepani isu alam sekitar

Selangor jelasnya wajar mengambil pendirian sama seperti diamalkan Presiden yang baru dipilih itu.

“Selangor sebagai sebuah negeri maju sewajarnya mendepani hal sebegini. Bela kemampanan alam sekitar dan henti tarah hutan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments