LAPORAN terbahru Transparency International yang mendedahkan bahawa Malaysia turun enam anak tangga ke tempat ke-57 daripada 150 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 menarik perhatian Badan Pemerhati Rasuah.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, laporan itu menunjukkan amalan rasuah meresap jauh ke dalam institusi dan pentadbiran yang mengemudi negara ini. dan kerajaan ditadbir Muhyiddin Yassin perlu segera menyusun semula kerajaannya, memperkukuh kebebasan institusi dan memulihkan kedaulatan undang-undang.
Tambah mereka, antara faktor yang mempengaruhi kejatuhan kedudukan itu termasuk pembaharuan institusi terhenti, akses terhad kepada maklumat mengenai hal berkepentingan umum, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah berterusan oleh agensi penguatkuasaan, serta kurangnya kemahuan politik untuk memerangi rasuah institusi “yang tersemai dalam sistem”.
Faktor lain termasuk pelantikan ahli politik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan, kurang kemajuan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan, serta penemuan teruk dalam laporan tahunan ketua audit negara.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tegas mengurangkan banyak inisiatif yang dimulakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terdahulu.
“Ini bukan saja dalam Pelan Anti-rasuah Nasional (NACP), malah sehingga tahap menangguhkan pilihan raya dan fungsi Parlimen, membelakangkan kedaulatan undang-undang, tonggak utama dalam menegakkan pentadbiran yang baik,” kata C4 dipetik laporan media.
Untuk rekod, pada 2019 ketika pentadbiran Pakatan Harapan, Malaysia di kedudukan 51 dengan skor 53, skor terbaik negara sejak tujuh tahun lalu.
Negara dinilai daripada sifar hingga 100, di mana sifar dianggap paling korup dan 100 untuk negara yang dianggap paling bersih dan telus.
BACA: Indeks Persepsi Rasuah zaman PN kembali mengecewakan
Transparency International, yang mengeluarkan laporan itu, berkata penurunan skor terbabit dapat dikaitkan dengan perubahan mendadak dalam kerajaan susulan “Langkah Sheraton” pada awal 2020.
“Ini tidak baik untuk masa depan kita memandangkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan pelaburan langsung asing di Malaysia jatuh sebanyak 68%,” kata mereka.
Contoh lain yang dinyatakan TI ialah perbicaraan ahli politik berprofil tinggi melibatkan tuduhan rasuah yang menyebabkan beberapa pelepasan dan pembebasan bersyarat.
Beri kesan pada ekonomi
Sementara itu, seorang ahli ekonomi mengingatkan kejatuhan CPI itu bakal memberi kesan ekonomi kepada negara.
Ketua Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito dipetik laporan FMT berkata, ia akan menyebabkan pelaburan langsung asing lari ke negara jiran seperti Filipina, Indonesia dan Vietnam.
“Malaysia dianggap negara yang kurang menarik untuk pelaburan. Kenaikan tahap rasuah anggapan hanya memburukkan lagi keadaan itu dan seterusnya menjejaskan daya saing Malaysia,” katanya.
![]() |
Rasuah akan burukkan keadaan |
Beliau menyeru rakyat untuk lebih menekan kerajaan supaya bersikap telus.
“Ahli politik harus dipersoalkan dari segi kekayaan dan juga sumber kekayaan mereka,” katanya.
0 Comments