SEORANG lagi pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sah akan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Berita gembira itu disampaikan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu kenyataan media selepas menerima pengesahan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 9 Mac.
E-mel daripada Ketua Jabatan Trek UCI, Gilles Peruzzi itu mengesahkan Malaysia meraih dua slot dalam acara keirin dan pecut individu pada temasya sukan terbesar dunia itu, bersama 36 negara lain.
Sebelum ini, jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang telah mengesahkan tempat ke Tokyo.
"Kita sebenarnya hanya tahu secara samar-samar. Pada dasarnya kita telah dimaklumkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara) bahawa Azizulhasni telah layak secara merit dalam dua acara iaitu keirin dan pecut.
"Pada masa yang sama, kita dimaklumkan bahawa Muhammad Shah Firdaus juga layak. Istilahnya ialah 'by nation'. Jadi untuk dapatkan maklumat tepat, PKBM telah mengutus sepucuk surat kepada UCI.
"Surat berkenaan bertujuan untuk mengetahui status sebenar tentang kedudukan dan penyertaan Muhammad Shah Firdaus di Tokyo 2020," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab pada Rabu.
Jelas Abu Samah, e-mel pengesahan daripada UCI itu juga turut dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Beliau sementara itu turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus yang meneruskan detik kecemerlangan trek di Olimpik 2008 di Beijing, China dan Olimpik 2012 di London, Britain.
"Sebelum ini kita ada kombinasi Azizulhasni dan Josiah Ng. Maknanya kita masih mampu teruskan tradisi kecemerlangan dalam acara trek di Sukan Olimpik," katanya.