Lelaki warga Indonesia terapung di Sungai Perak


MAYAT
seorang lelaki dipercayai warga Indonesia berusia lingkungan 20-an ditemui dalam Sungai Perak pada jam 7.50 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata mayat itu ditemui terapung berhampiran Pam Pasir 1, Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada polis.

Katanya, mangsa yang memakai baju-T berwarna coklat kekuningan dan jeans pendek berwarna biru, dibawa naik ke darat dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar pada 10.40 malam.

“Ditemui dompet dalam poket kiri seluar mangsa dan salinan dokumen pengenalan diri yang belum dapat disahkan iaitu nama Hosnan, berusia 27 tahun dan berasal dari Tanjung Perak, Indonesia," katanya dalam kenyataannya.

Bagi mengesahkan identiti sebenar mangsa, pemeriksaan terhadap cap jari akan dilakukan.

sementara itu Barudin berkata, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang kecederaan fizikal akibat perlakuan jenayah pada luaran badan mayat.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum mayatnya ditemui. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan diteruskan,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments