SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Saifuddin Nasution Ismail mencabar Menteri Wilayah Annuar Musa agar membuktikan bahawa beliau telah membuat tindakan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Cabaran itu dikemuka Saifuddin selepas Annuar memuat naik tiga keping gambar menunjukkan pertemuan Saifuddin bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut disertai Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.
"Semua orang tahu persahabatan saya dengan Zahid. Dah lebih 30 tahun.
"Saya mengaku ada banyak koleksi gambar bersama beliau dan keluarganya." katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Annuar, Ahli Parlimen Umno yang dilihat cenderung kepada Muhyiddin Md Yassin sebelum ini difahamkan telah memuat naik antaranya gambar Saifuddin dan Ahmad Zahid dilihat memegang senaskhah buku berjudul Impactful Speeches: Winning Hearts and Minds ditulis Zahid.
Buku itu diterbitkan pada 2018.
Gambar kedua pula menunjukkan Saifuddin bersama Ahmad Zahid dan Johari sedang menikmati hidangan di lokasi yang tidak dapat dikenal pasti.
Bagaimanapun, hantaran Annuar itu tidak menjelaskan tarikh dan tempat pertemuan tersebut berlangsung.
![]() |
Saifuddin cabar Annuar beri perincian gambar |
"Sekiranya dia beritahu bila dan di mana gambar-gambar itu diambil, kemudian saya boleh jawab dakwaan mengatakan saya langgar SOP," kata Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bahru.
Sebagai rekod, Annuar baru-baru ini dikenakan kompaun RM2,000 oleh polis semalam kerana melanggar SOP PKP diperketatkan (PKPD) dengan berkunjung ke rumah bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi pada Sabtu lalu.
0 Comments