Pakar ulang gesaan percepatkan vaksinasi rakyat


NEGARA kini sedang menerima akibat susulan kurangnya ujian saringan Covid-19, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib.

Dipetik laporan FMT Azrul turut berkata, situasi ditempuh negara sekarang sekali gus akan memberi gambaran “situasi sebenar” pandemik yang melanda.

Strategi ‘lockdown’ untuk melandaikan keluk kes jangkitan menurutnya tidak akan memberi kesan besar berikutan virus sudah berada dalam komuniti.

“Kita mula melihat kedudukan sebenar epidemik ini. Malaysia meletakkan tangggapan situasi berdasarkan jumlah kes dilapor dan ini menyebabkan gambaran tidak tepat dibuat berkenaan apakah yang sebenarnya berlaku di lapangan.

“Sudah jelas bahawa ada jangkitan kes tidak dilaporkan. Kini, dengan ujian saringan semakin dipergiat, kita tahu bahawa majoriti jangkitan berpunca daripada kes sporadik dan tidak berkaitan dengan kluster,” katanya menurut laporan itu.

Kadar kebolehjangkitan atau R0/RT dilapor meningkat daripada 1.07 pada 1 Jun lalu kepada 1.15 pada 11 Julai.

Mengulas keadaan semasa, beliau turut menegaskan bahawa fokus ketika ini adalah untuk mempercepat kadar vaksinasi.

Pakar sifatkan vaksinasi sebagai penting
Data diperoleh daripada banyak tempat di dunia jelasnya menunjukkan individu yang tidak mendapat suntikan vaksin adalah mereka yang terkesan teruk dengan jangkitan atau meninggal dunia.

sementara itu dalam laporan serupa bekas timbalan menteri kesihatan, Lee Boon Chye menggesa menteri kesihatan menjelaskan mengapa kadar kebolehjangkitan semakin meningkat ketika ‘lockdown’ masih berkuat kuasa.

Selain itu menurutnya kerajaan perlu berkongsi semua data yang diperoleh dengan umum termasuk lokasi “hotspot” Covid-19 dan bagaimana jangkitan merebak di tempat kerja.

“Sekiranya kerajaan mahu menghentikan virus daripada terus merebak, rakyat perlu berada dalam rumah selama enam minggu dan diberikan sokongan yang diperlukan meskipun kita tahu ini tidak boleh dilaksanakan.

“Jadi kita tidak mempunyai banyak pilihan selain meminimumkan risiko dan memberi vaksin kepada rakyat seramai mungkin,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments