Adham Baba digesa letak jawatan

 


MENTERI KESIHATAN Adham Baba perlu bertanggungjawab terhadap peningkatan kes baharu berkaitan Covid-19 yang telah mencapai lima angka untuk dua hari berturut-turut walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 16 Mei lalu.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua ketika membuat gesaan itu dengan berkata, kementerian dikepalai gagal memainkan peranan berkesan untuk mengawal penularan virus berkenaan apabila melakukan pengesanan jangkitan Covid-19 yang tidak memadai walaupun secara faktanya kadar positif kes terus meningkat.

"Bukti yang paling jelas mengenai kegagalan ini adalah hakikat bahawa Kementerian Kesihatan telah melakukan penurunan jumlah ujian Covid-19, walaupun terdapat peratusan kadar positif yang tinggi dan meningkat di kalangan mereka yang diuji.

"Negara ini telah berada dalam sekatan pergerakan lebih lapan minggu dan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini nampaknya tetap tidak terkawal.

"Semalam, negara ini melaporkan catatan 11,079 kes, memecahkan rekod sebelumnya 9,353 kes yang dicatat hanya dua hari sebelumnya. Ini dengan cepat mendekati tiga kali ganda dari 4,140 kes yang dilaporkan pada 16 Mei 2021, ketika PKP3.0 diumumkan.

"Sekarang sudah sangat jelas bahawa Adham leka dan percaya bahawa virus akan secara ajaib hilang selepas sekatan pergerakan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan semalam.

Sebagai rekod, selain mencatatkan 11,079 kes pada Selasa, negara turut mencatatkan 11,618 kes pada semalam.  

Jumlah kematian secara kumulatif kini menghampiri 6,500 orang.

Pua menambah bahawa selama lebih dari lapan minggu, rakyat terus menderita, kehilangan pendapatan dan mata pencarian serta berharap dapat kembali ke situasi sedia kala secepat mungkin.

"Namun, Adham dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah sepenuhnya menyia-nyiakan pengorbanan rakyat kerana mereka gagal memainkan peranan mereka untuk membendung penularan virus untuk melengkapkan pengorbanan rakyat semasa sekatan pergerakan.

Adham didakwa sia-siakan pengorbanan rakyat
"Adham mesti mengambil tanggungjawab penuh meletak jawatan sebagai menteri kesihatan.

“Ketidakcekapan beliau mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, kesengsaraan berpanjangan dan kesukaran kepada rakyat biasa yang berhempas pulas mendapatkan mata pencarian ketika pandemik. Jika beliau enggan meletak jawatan, kerajaan PN sepatutnya memecat menteri kesihatan yang paling tidak cekap dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Post a Comment

0 Comments