SEORANG pemimpin DAP berkata, perlu wujud agenda besar antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Ahli Parlimen parti lain termasuk dari Umno bagi menyelamatkan negara daripada pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu berkata begitu merujuk penjajaran baharu politik yang diperkatakan kebelakangan ini.
Ronnie yang sebelum ini dilihat sebagai pemimpin dalam DAP yang bersikap kritikal dalam menyuarakan sesuatu isu memberi alasan bahawa kerjasama termasuk Ahli Parlimen dari Umno itu perlu susulan kegagalan Mahiaddin Md Yassin mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.
“Kalau HARAPAN berpegang kepada prinsip tidak mahu bekerjasama dengan sesiapa, kita bimbang Muhyiddin akan terus memerintah kerana tiada tekanan, walaupun terbukti telah gagal.
“Kalau dibiarkan beliau terus memerintah, ia akan membawa kepada keadaan lebih teruk.
"Muhyiddin sekarang berdepan tiga krisis – pertama, kestabilan politik; kedua, wabak Covid-19; dan ketiga, ekonomi,” katanya dipetik laporan FMT.
Walaupun mengakui idea kerjasama antara HARAPAN dan Umno bukan suatu yang mudah untuk dilaksanakan, namun ia mampu direalisasikan sekiranya penyokong kedua-dua pihak berlapang dada.
“Dua-dua (belah) penyokong perlu berlapang dada, melihat isu lebih besar (iaitu) menyelamatkan negara, berbanding melihat perseteruan silam antara Umno dan HARAPAN. Orang DAP, Amanah, KEADILAN, Umno kena ketepikan perasaan atau apa yang berlaku di masa lampau.
“Dulu kita pernah kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad (dan) berjaya jatuhkan Najib Razak, sekarang apa salahnya kita bersama-sama menjatuhkan kerajaan Muhyididin sebab sudah gagal," jelasnya.
Bagaimanapun, Ronnie menegaskan bahawa kerjasama dengan bekas Pengerusi Parti bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad tidak lagi perlu dipertahankan.
Ia kerana jelasnya kredibiliti dan kewibawaannya vateran itu sebagai tokoh politik sudah hilang.
Beliau turut yakin kerjasama antara HARAPAN dan Umno boleh bertahan lama sekiranya kedua-dua pihak boleh mengetepikan ego dan mengelak daripada bertanding siapa lebih bagus atau “suci”. Jajaran baharu bukan perkara mustahil
Untuk rekod, Isu penjajaran baharu politik antara HARAPAN dengan Umno bukan perkara baharu dibangkitkan.
Gerakan itu dikatakan wujud sejak tahun lalu, apabila Anwar mendedahkan dirinya mempunyai sokongan wakil rakyat mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
0 Comments