KENYATAAN MEDIA | Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH)
mengambil maklum pengumuman YB Menteri Kanan Pendidikan berkaitan
pengambilan khas guru KPM secara “one off” seramai 18,702 orang.
JKPPH
menyambut baik langkah ini sekiranya ia dapat menyelesaikan isu
kekurangan guru selama ini dan memberi peluang pekerjaan kepada ramai
graduan yang sedang menganggur.
Walau bagaimanapun, setelah melihat
komentar daripada pelbagai pihak dan juga mempertimbangkan kenyataan ini
daripada pelbagai sudut dan pendekatan berstruktur, beberapa perkara
wajib perlu dilihat dengan lebih teliti sebelum sebarang keputusan
dibuat:
1. Sepertimana yang ditekankan oleh NUTP dan ramai pihak, isu kualiti
guru hendaklah diberikan keutamaan dan tidak sesekali digadaikan.
Proses melahirkan murid-murid yang cemerlang akademik dan sahsiah
haruslah bermula dengan pemilihan guru yang terbaik. Memilih guru yang
berkualiti hendaklah diadakan secara terancang, teliti dan tidak
tergesa-gesa.
2. Proses temu duga dan pemilihan calon guru untuk mengisi kekosongan
lebih lapan belas ribu itu hendaklah dilaksanakan secara bersemuka bagi
membolehkan individu yang benar-benar layak sahaja dipilih dan bukan
sekadar melalui dalam talian dan tergesa-gesa.
Justeru, pemilihan yang
dilakukan secara tergesa-gesa melalui proses temu duga secara dalam
talian sahaja dikhuatiri tidak dapat memilih calon guru yang benar-benar
berkelayakan.
Hal ini jika tidak diuruskan secara profesional hanya
akan meletakkan masa depan kualiti keguruan negara ini di dalam bahaya.
3. Apakah nasib para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP)
yang sedang menuntut di tahun akhir di universiti-universiti awam?
Mereka bakal menamatkan pengajian dalam bidang perguruan pada seawal
hujung tahun ini atau tahun hadapan, tetapi tempat mereka telah diisi
oleh calon-calon yang bukan daripada bidang tersebut lantaran
pengambilan terus secara beramai-ramai ini.
Apakah KPM dan Majlis Dekan
Fakulti Pendidikan Universiti Awam telah berbincang akan perkara ini
4. JKPPH mencadangkan supaya pengambilan ini dilakukan secara berhati-hati dan berfasa:
Fasa 1: Melantik secara tetap guru-guru interim yang kini sedang berkhidmat di sekolah dan telah memperolehi Diploma Pendidikan tetapi belum dipanggil untuk pengesahan jawatan.
Fasa 2: Mendahulukan penempatkan calon-calon guru dalam kalangan graduan PISMP dan ISMP yang telah pun berdaftar dengan MYSPP tetapi belum mendapat penempatan yang mana jumlahnya melebihi 16,000 orang.
Fasa 3: Membuat pemilihan dalam kalangan graduan bidang lain yang benar-benar berkelayakan bagi mengisi kelompangan yang masih ada.
5. JKPPH juga menyuarakan kebimbangan berkaitan persiapan tempat bagi latihan perguruan untuk bakal guru bukan ISMP. Kenyataan Rektor IPGM yang menyebut bahawa guru-guru ambilan khas ini akan dilatih oleh IPGM menimbulkan beberapa persoalan:
5.1 Kemudahan sedia ada di 27 IPG kampus adalah amat terhad untuk
menampung pelajar yang ramai secara serentak. Ini kerana kemudahan
setiap IPG Kampus hanya mampu menampung sekitar 800 orang pelajar sahaja
dalam satu sesi akademik.
Setiap IPG kampus sekarang telah mempunyai
pelajar PISMP dan PDPP sedia pada tahap optima.
5.2. Kalendar akademik baharu IPG dengan sistem tiga semester juga
telah menyebabkan cuti semester IPG tidak selari dengan cuti penggal
persekolahan.
Ini menyebabkan sistem latihan diploma pendidikan dengan
mod kursus dalam cuti (KDC) bagi guru khas ini amat sulit untuk
dilaksanakan kerana akan bertembung dengan semester pengajian PISMP yang
sedang berjalan.
5.3. Masih banyak IPG Kampus yang menghadapi masalah kekurangan
pensyarah kesan daripada pengambilan pensyarah baharu yang diberhentikan
sebelum ini.
Justeru proses pengambilan pensyarah baharu bagi semua IPG
hendaklah diselesaikan dengan segera.
Justeru, JKPPH menggesa agar perbincangan secara menyeluruh di antara
pihak KPM, IPGM, SPP dan Majlis Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Awam
diadakan secara tuntas dan telus sebelum apa-apa tindakan diambil.
YB
Menteri Kanan Pendidikan dan Timbalan-Timbalannya dinasihatkan agar
tidak terburu-buru di dalam membuat keputusan yang populis tetapi
mempunyai impak jangka masa panjang dan risiko yang besar kepada masa
depan pendidikan negara. Sokong tapi jangan lakukan terburu-buru
“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”
Dr Maszlee Malik, Pengerusi JKPPH (Ahli Parlimen Simpang Renggam)
Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa)
Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin)
Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang)
Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam)
Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu)
0 Comments