POLIS menahan tiga pekerja syarikat keselamatan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian peralatan bernilai lebih RM200,000 yang berlaku ketika kejuaraan MotoGP sepang.
Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, tiga yang ditahan itu merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an.
"Permohonan reman akan dibuat terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Kita masih menjalankan siasatan sebelum mengesahkan sama ada ketiga-tiga pekerja keselamatan itu terlibat atau tidak kerana semasa kejadian berlaku mereka sedang bertugas di sekitar lokasi.
Polis juga sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi," kata Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu.
BACA: Kes curi di MotoGP Sepang malukan rakyat M'sia
Terdahulu, satu laporan polis dibuat Bahagian Keselamatan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berhubung kes kecurian yang dilaporkan berlaku di paddock MotoGP pada jam 1 pagi Jumaat.
Dalam kejadian itu antara barang dilapor hilang antaranya, lapotop, angkup dan cakera brek dan beberapa alat ganti lain bagi jentera Moto2 dan Moto3.
Pengurus pasukan Angel Nieto, Gino Borsoi dipetik berkata, spring untuk fork dan penyerap hentak belakang turut dicuri.
Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali melahirkan rasa kecewa atas kejadian itu.
Ia tegasnya telah memberi gambaran negatif terhadap SIC dan Malaysia khususnya.
0 Comments