Vape: Jangan haram, tapi kawal - Mevta


KERAJAAN
Persekutuan digesa mempertimbangkan agar penjualan cecair vape ber-nikotin dibenarkan di negara ini.

Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) dalam satu kenyataan berkata kerajaan boleh mengawal penjualan cecair itu seperti dilaksana beberapa negara maju lain seperti United Kingdom (UK).

Gesaan itu dibuat Mevta melalui satu kenyataan susulan kenyataan Kementerian Kesihatan baru-baru ini yang mengalu-alukan usaha pengharaman promosi produk alternatif kepada rokok yang mendapat sambutan hangat rakyat itu.

Sebagai rekod, vape adalah rokok elektronik yang menggunakan cecair sebagai alternatif menggantikan nikotin penghisap rokok berbanding produk rokok konvensional menggunakan tembakau.

Difahamkan, kemunculan rokok alternatif ini sejak beberapa tahun lalu telah menyebabkan kerugian besar kepada taikun rokok yang dikuasai syarikat antarabangsa.

Vape dilapor mampu menghentikan
kebergantungan kepada rokok
Sementara itu Presiden Mevta Rizani Zakaria dalam kenyataan berkata operasi rampasan produk vape dilakukan bahagian penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara kebelakangan ini telah menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada pemain industri itu.

Difahamkan juga, Malaysia merupakan pengeksport kedua terbesar produk berasaskan cecair cape ke seluruh dunia.

Ia diusahakan oleh ramai usahawan belia tempatan iaitu hampir 95 peratus terdiri daripada usahawan Bumiputera dengan memberi peluang pekerjaan kepada ribuan orang.

“Kami ambil maklum tindakan penguatkuasaan yang diambil kementerian ke atas industri vape di negara ini bermohon agar semua pihak (peniaga vape) yang terjejas bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Pihak industri vape juga mohon agar kerajaan membenarkan penjualan vape nikotin secara terkawal seperti peraturan dilaksanakan di United Kingdom yang mana sistem diperkenalkan itu terbukti berkesan,” katanya

Beliau berkata pihak industri juga mencadangkan agar Jawatankuasa Khas kawalan penggunaan vape yang dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye itu turut melibatkan MEVTA sebagai wakil industri untuk berbincang bersama berkenaan peraturan yang bakal digubal.

Media sebelum ini melaporkan tindakan KKM merampas 35,439 produk disyaki mengandungi nikotin melibatkan rampasan bernilai RM6.38 juta dalam satu operasi bersepadu di seluruh negara.

Post a Comment

0 Comments