KETUA PEMBANGKANG, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memberi penjelasan kos sebenar perkhidmatan telekomunikasi 5G kerana dilihat semakin meningkat.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, Anwar berkata, angkanya dikatakan antara RM11 bilion hingga RM15 bilion, malah hingga RM28 bilion dan meminta penjelasan kerana rakyat yang perlu membayarnya.
“Kita perlu tahu kenapa syarikat itu dipilih dan mengapa kosnya meningkat?
“Rakyat menderita, rakyat tiada pekerjaan, sekolah tiada kemudahan dan komputer riba juga tidak mencukupi tetapi kita mahu berbelanja berbilion-bilion (untuk 5G),” tegasnya.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, proses tender itu sepatutnya telus dan orang ramai mesti tahu “syarikat mana yang telah diberikan tender dan ejen atau kenamaan mana yang terlibat”.
Sebuah syarikat bertujuan khas (SPV), Digital Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan untuk melaksanakan projek itu dan Malaysia telah membuat perjanjian dengan Ericsson selama 10 tahun untuk pelancaran 5G.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Komunikasi Digital dan Multimedia HARAPAN mahu kerajaan mengkaji semula keperluan mewujudkan DNB bagi mengendalikan spektrum 5G di negara ini.
Penubuhan sebuah syarikat untuk mengendali perkhidmatan 5G tegas mereka bukan sahaja tidak dibuat di mana-mana negara tetapi hanya akan menjebak Kerajaan dan rakyat dalam tanggungan hutang apabila syairkat terbabit membuat pinjaman bagi pengoperasiannya.
Ogos lalu, Pakar telekomunikasi, Dato Noor Kamarul Annuar Nuruddin turut menyuarakan kebimbangan mengenai pendekatan projek rangkaian 5G yang bakal dilaksanakan oleh DNB kelak.
Dipetik wawancara oleh Ekonomi Rakyat, Noor Kamarul membayangkan DNB yang merupakan kontraktor tunggal projek ini bakal berdepan dengan beberapa cabaran besar dalam membangunkan rangkaian telekomunikasi tersebut.
Anwar mahu tahu siapa kenamaan terlibat kontrak |
'Sekarang ini dia belum boleh putuskan dengan operator-operator lain. Dan operator mungkin akan lawan kerana mereka nampak perkara ini akan memberikan kos yang tinggi kepada mereka. “ kata bekas CEO Telekom Malaysia itu dipetik.
0 Comments