Tindakan terhadap KEADILAN layanan dua darjat - Kit Siang


TINDAKAN
kompaun RM10,000 kepada KEADILAN yang menganjurkan ceramah bergerak tanpa kehadiran orang ramai di Paya Rumput Melaka dikritik seorang pemimpin vateran.


Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri menyifatkan kompaun dikenakan adalah salah satu contoh kemuncak kebodohan dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sedang berjalan.

“Saya fikirkan, KEADILAN Melaka sepatutnya dipuji kerana menggunakan cara yang unik untuk berkempen dalam PRN ini yang mengambil kira kepentingan untuk tidak memburukkan lagi keadaan Covid-19.

“Pada masa yang sama mereka meneruskan objektif untuk mencapai satu pilihan raya yang bebas, adil, dan bersih. Sebaliknya mereka dikenakan denda RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Terdahulu Ketua Penerangan KEADILAN Shamsul Iskandar Md Akin mempersoal tindakan dikenakan terhadap mereka hanya kerana mengadakan ceramah bergerak tanpa kehadiran orang ramai di Paya Rumput pada 30 Oktober lalu.

Shamsul Iskandar berkata ia adalah projek perintis untuk memenuhi protokol Covid-19 dan mereka telah memaklumkan kepada polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam ceramah itu, jelasnya penceramah akan berdiri di atas pentas yang dibina di atas lori dan diletakkan di tengah-tengah kawasan perumahan untuk menyampaikan ceramah dengan menggunakan pembesar suara.

Katanya, mereka yang berminat untuk mendengar ceramah boleh duduk di hadapan rumah masing-masing bagi mendengar ceramah tanpa perlu berkumpul beramai-ramai
 
Sementara itu Kit Siang mempersoalkan mengapa pihak berkenaan tidak mengambil tindakan serupa terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan Mahiaddin Yassin yang menghadiri aktiviti 'kempen secara sorok-sorok' di negeri itu beberapa hari lepas

Beliau menyifatkan pihak berkuasa mengamalkan “dua darjat” dalam mengambil tindakan tersebut.

Pada Sabtu, Najib mengadakan lawatan ke Melaka. Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu bertegas bahawa dia hanyalah seorang pelawat dan tidak menjalankan aktiviti politik.

Muhyiddin juga berada di Melaka pada hari yang sama untuk melawat beberapa Gerai Prihatin Rakyat - gerai menjual barang keperluan asas dengan diskaun yang tinggi.

Patut puji usaha KEADILAN, bukan  saman
Dalam kenyataan juga, Kit Siang menyifatkan larangan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai satu larangan yang tidak dipertimbangkan dengan baik dan tidak praktikal.

Justeru, larangan itu katanya perlu dibatalkan segera dan digantikan dengan SOP yang dibuat khusus untuk PRN Melaka.

“Kerana inilah saya telah menyeru supaya satu mesyuarat diadakan bersama dengan SPR, Kementerian Kesihatan, dan semua parti-parti politik yang berminat dan juga NGO yang berkenaan untuk membincangkan perkara ini,,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments