KERAJAAN disarankan agar mengawal ketirisan susulan pembentangan Belanjawan 2022 yang merupakan belanjawan dengan peruntukan terbesar dalam sejarah.
Setiausaha Agung parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dalam membiayai belanjawan tersebut.
"Biarpun belanjawan mengembang, kerajaan tetap terikat dengan komitmen besar dalam hal emolumen, pencen, bayaran hutang dan subsidi.
"Cabaran utama ialah bagaimana membiayai komitmen tersebut ketika hasil juga kurang (daripada perbelanjaan)," kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu dipetik Malaysiakini.
Beliau menggesa supaya kerajaan mempertingkat kecekapan penyampaian dan mengelak pemborosan.
Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM332.1 bilion.
Ia merupakan peningkatan tiga peratus daripada belanjawan sebelumnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran melahirkan kekecewaan apabila Belanjawan dibentangkan tidak menyentuh isu berkaitan gaji minimum.
Walau bagaimanapun bekas menteri sumber manusia itu memuji kerajaan kerana mengambil kira banyak cadangan dikemuka Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk belanjawan kali ini.
"Saya memuji Kementerian Kewangan setelah perbincangan sebanyak lima pusingan bersama kepimpinan HARAPAN. Banyak cadangan telah diambil kira.
"Namun, saya kecewa isu gaji minimum tidak disentuh. Ia melibatkan hampir 16 juta pekerja di negara ini. Kerajaan perlu serius dalam menangani isu ini," katanya.
Kerajaan terikat dengan komitmen kewangan |
"Satu lagi perkara paling penting adalah cabaran untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan baru.
"Ini kerana ianya tidak dinyatakan di mana dan bagaimana peluang tersebut akan dicipta," katanya.
0 Comments