ULASAN | Pertengahan 1990-an dulu seorang pemimpin muda PAS negeri pernah menceritakan bagaimana dalam parti itu memang ada ahlinya yang mengikut arahan secara membuta tuli.
Kata dia, di kampung-kampung sana ada ahli PAS yang tidak bersedia untuk berfikiran kritis pun. Mereka itu, katanya, boleh saja mengangkat parang kalau-kalau ditakdirkan itulah arahan yang diberikan pimpinan parti.
Tanpa diminta, tragedi Memali pun terbayang dalam kepala.
Pada waktu sama juga, salah seorang rakan sebumbung merupakan penyokong tegar PAS. Bukanlah dia itu salah seorang ahli PAS yang sedia "mengangkat parang" jika diarahkan.
Cuma dia lantang di tempat kerja ketika tempat kerja itu diketahui menyokong Umno dan BN. Dia tidak peduli. Cuma sesekali apabila PAS terkena jerat lawan, rakan itu akan menjadi agak pendiam.
Ketika Mohamad Sabu 'ditangkap khalwat' di Kelantan, misalnya.
Kejadian-kejadian itu berlaku ketika PAS menjadi pembangkang. Sekarang keadaan bertukar. PAS sudah menjadi kerajaan. Pemimpin PAS memiliki jawatan di peringkat pusat dan negeri.
Jika dulu penyokong PAS berkempen menyorok-nyorok di sebalik kuliah dan ceramah agama di masjid atau surau, kini mereka melakukannya secara terbuka. Dan kadang-kadang dengan rasa bangga, meskipun kadang-kadang ia melanggar titah sultan.
Di sebalik perubahan itu, masih ada yang kekal. Pemikiran 'holier than thou' masih ada, malah kian mengukuh. Lebih menarik, ia kadang-kadang ditanamkan oleh orang yang angkuh.
Jangan salah faham. Angkuh yang dimaksudkan di sini bukanlah seperti yang kebanyakan kita selalu faham. Berbaju jenama mahal dan kereta mewah, misalnya.
Keangkuhan dan perasaan 'holier than thou' yang dimaksudkan mungkin saja dilafazkan oleh seseorang yang penampilan luarannya nampak zuhud.
Dia boleh saja berbaju lusuh, berjubah bertampal atau berselipar. Namun kata-katanya tidak membayangkan kezuhudan berkenaan.
Misalnya, dia 'boleh menentukan' nasib akhir seseorang sama ada ke syurga atau neraka ketika nasib dia sendiri untuk esok hari belum dapat dipastikan.
Sudah tentu dia akan menyandarkan hujah berkenaan dengan dalil-dalil naqli yang ditafsirkan mengikut seleranya.
Bukan subjek baru
Sehari dua lalu tular hantaran seorang pemimpin PAS peringkat pertengahan mengenai kemarahannya kepada bekas ahli parti itu yang menyertai Amanah.
'Ustaz' tersebut menyenaraikan syarat untuk ahli Amanah - jika betul ada - yang ingin kembali kepada PAS. Katanya, mereka perlu melakukan tiga perkara. Pertama, meminta maaf kepada semua ahli PAS dan presiden parti itu; kedua, beristighfar; dan ketiga, mengucap dua kalimah syahadah.
Dua daripada syarat berkenaan pun sudah dianggap mengelirukan, apa lagi syarat yang ketiga iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Ia membayangkan bahawa di mata yang dipertua PAS berkenaan, orang yang meninggalkan parti itu terbatal keislaman mereka.
Memanglah dia kemudian memadamkan hantaran berkenaan dan meminta maaf. Namun beberapa ketika kemudian dia memuat naik hantaran lain yang mengajak orang ramai mengikuti kuliahnya mengenai perkara yang boleh membatalkan iman.
Sesiapa saja yang dekat atau menyertai PAS akan tahu apa yang dimaksudkan dalam tajuk membatalkan syahadah itu. Ia bukan subjek baru, malah isu yang mendasar sejak sekian lama.
Selain itu, pemimpin PAS tersebut bukan baru sekali dua melakukan tindakan ekstrem berkenaan. Dia pernah 'mengancam' Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan kemungkinan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bakal dikebumikan di jirat Cina jika meninggal dunia dalam keadaan menolak usul meminda Akta 355 dibawa Abdul Hadi Awang.
Terdahulu, dia mendakwa kerajaan Pulau Pinang mengharamkan azan. Sudah tentu dia menipu kerana tidak lama kemudian dia meminta maaf.
Tulisan ini bukanlah bermaksud menilai dan memperkatakan kebebalan individu berkenaan. Tidak berbaloi sama sekali menggunakan ruang yang ada ini untuk berbincang mengenai 'ustaz' tersebut.
Isu sebenar dan 'real' ialah berkenaan pemikiran yang berbahaya dan - setakat ini - belum nampak ada usaha untuk mengekangnya. Apa yang tercatat itu diyakini baru 'puting' kepada iceberg yang lebih besar dan menggadang.
Bukan seorang dua 'ustaz' PAS yang bergerak dari satu masjid ke satu masjid atau surau untuk menyebarkan fahaman berkenaan. Ketika semua orang Islam yakin sepenuh hati bahawa hari akhirat dan pembalasan itu memang benar-benar ada, sesetengahnya pula percaya: tidak mungkin ulama atau lebai sanggup menipu.
Dalam naratif itulah ada ulama jahat menyulamkan kerja keji mereka dengan janji-janji syurga dan neraka.
Bukanlah syurga dan neraka itu tidak benar. Ia benar. Ia real. Tetapi penentu nasib baik dan nasib buruk setiap seorang manusia adalah Allah, bukannya seorang ustaz. Apa lagi ustaz yang jahat.
Maaf politik
Sesekali terasa ada juga wajarnya pihak berkuasa negeri mewajibkan seseorang pendakwah mendapatkan tauliah mengajar sebelum dibenarkan memberi kuliah di masjid atau surau.
Isu tauliah juga pernah menyebabkan seorang pemimpin PAS dikepung pihak berkuasa agama negeri suatu ketika dulu. Ia kemudian diceritakan oleh individu itu sendiri dengan dramatiknya.
Tidak dapat dipastikan sama ada dia sekarang sudah mendapat tauliah daripada pihak berkuasa negeri berkenaan atau belum. Dia kemudian bernasib baik kerana PAS menjadi kerajaan. Maka dia menjadi orang besar dalam agensi kerajaan juga.
Namun pemikiran ekstrem dalam parti masih berterusan.
Memang ada ketikanya orang yang terbabit meminta maaf secara terbuka atas kenyataan yang dibuat. Namun biasanya maaf itu datang selepas dia dikecam teruk, bukannya di peringkat awal teguran.
Ia menjadi malang apabila dia mengulangi kesalahan itu lagi dan lagi. Maknanya permohonan maaf itu tidak iklhas. Ia adalah maaf politik.
Pada masa yang sama orang seperti itu akan terus menjalankan dakyahnya untuk membonsaikan minda rakyat secara bawah sedar dan dibalut dengan agama.
Pengakuan seorang penceramah PAS semasa berkempen di Slim baru-baru ini adalah satu daripada sekian banyak kejadian yang berlaku di peringkat akar umbi dan - sekali lagi ditekankan - belum nampak ada usaha untuk mengawalnya.
Pada ketika lain ada kemungkinan yang besar dia akan tetap mengulangi usahanya menanamkan pemikiran takfiri dan ekstrem itu kepada orang ramai di sebalik nama kuliah, ceramah dan jubahnya.
Dan jangan salah faham pula. Bukanlah semestinya hanya orang berjubah saja yang giat menghasut masyarakat agar bersetuju dengan fikrah mereka.
Kadang-kadang personaliti yang berbaju kot, bertali leher atau berstatus tinggi pun ada yang begitu. Menganggap diri tidak bersalah, suci - walaupun dikenakan kompaun - dan sentiasa dirahmati tuhan, misalnya.
Lalu dia melihat orang yang tidak sehaluan dengannya sebagai pihak yang sudah berjaya dihasut syaitan.
Keyakinan itu sangat berbahaya. Jika dibiarkan atau diterima, kita semakin dekat kepada perasaan bahawa diri sudah menjadi tuhan - atau sekurang-kurangnya, malaikat - dalam diam-diam.
Golongan begitulah yang akan "mengangkat parang" jika ada arahan datang dari pihak atasan.
Berkenaan pemimpin Pemuda PAS dulu itu, dia sudah agak diam sekarang. Memang dia sudah berubah. Cuma perubahannya ialah, dia menjadi sebahagian daripada golongan yang dikritiknya dulu.
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya): 'Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?' Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna." (az-Zumar : 9)
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini dipetik dari siaran portal tersebut dan tidak menggambarkan pendirian kartelmedia.
0 Comments