PESARA KERAJAAN turut akan menerima manfaat daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dipetik laporan media berkata,Wan Ahmad Dahlan berkata, pencen diterima golongan itu akan diselaras bagi membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.
"Pelarasan pencen ini memang dilaksanakan setiap kali terdapat sistem saraan baharu. Bukan hanya mereka yang dalam perkhidmatan yang akan mendapat manfaat, sebaliknya pesara juga akan merasakannya.
"Namun, bagi mereka yang memilih untuk kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan kemudian akan menerima pencen pada tahun hadapan, pengiraan pencen adalah berdasarkan gaji akhir SSM.
"Sementara bagi yang memilih opsyen SSPA, pengiraan pencen akan berdasarkan gaji akhir SSPA iaitu selepas pelarasan Disember ini," katanya.
Wan Ahmad Dahlan sebelumnya menghadiri satu acara di Marang, Terengganu.
Pada acara itu beliau menyampaikan sumbangan eKasih kepada dua pesara kerajaan Persekutuan dengan masing-masing menerima bantuan kelengkapan rumah bernilai RM7,575 dan RM9,858.
Menyentuh mengenai program lawatannya itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, ia membuktikan komitmen kerajaan yang tidak pernah mengabaikan pesara, terutama ketika golongan itu berdepan pelbagai permasalahan seperti kesihatan dan kewangan.
"Insya-Allah program ini akan diteruskan untuk pastikan hasrat Perdana Menteri yang mahu kemiskinan ditangani dengan tuntas dan boleh dilaksanakan sebaik mungkin. Bagi pesara pula, walaupun tidak lagi berkhidmat, jasa mereka tetap dihargai kerajaan," tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 2024 Ogos lepas menegaskan, pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusannya yang dinikmati oleh penjawat awam yang sedang berkhidmat.
0 Comments