Kes pesakit baharu memuncak 217 orang hari ini


KEMENTERIAN
Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan tiga lagi kematian baru berkaitan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan kematian terbaharu itu, jumlah keseluruhan angka korban wabak itu di Malaysia sehingga kini adalah sebanyak 53 kes.

Berikut merupakan tiga kematian terbaru:

Kes kematian ke-51 (kes ke-2561) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 84 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.

Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 12 Mac 2020 dan kemudian ke Institut Jantung Negara. Beliau disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 1.07 tengah hari.

Kes kematian ke-52 (kes ke-2122) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun.
Dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 7.55 pagi.

Kes kematian ke-53 (kes ke-2034) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 73 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

Dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada 24 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 9.30 pagi.

Kes jangkitan baru yang dilaporkan pula setakat tengah hari tadi adalah sebanyak 217, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan 3,333.

58 daripada 217 kes baru tersebut jelas Dr Noor Hisham mempunyai kaitan dengan kluster tabligh Sri Petaling.

Sementara itu dalam sidang medianya juga, Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa setakat tengah hari semalam, terdapat 138 anggota kesihatan KKM dilaporkan dikesan positif Covid-19.

Bagaimanapun jelasnya, tiada kes yang melibatkan anggota KKM yang dijangkiti berpunca daripada pengendalian kes di fasiliti KKM.

Dalam perkembangan serupa, Dr Noor Hisham memaklumkan 60 pesakit pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 827 kes (24.81 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Post a Comment

0 Comments