ANAK kepada Allahyarham Presiden PAS, Fadzil Noor menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, menghina bapanya.
Menurut Faiz Fadzil, tindakan Takiyuddin menyamakan kunjungan Abdul Hadi Awang ke rumah Najib Razak dengan kedatangan Allahyarham Fadzil Noor bertemu Anwar pada 1998 sangat tidak wajar memandangkan dua pertemuan itu berlaku dalam keadaan, konteks dan kesan berbeza.
Tegasnya, kunjungan arwah bapanya ke rumah Anwar lebih 20 tahun dulu adalah kerana ahli politik berkenaan dizalimi dan difitnah.
Justeru menurutnya pembelaan terhadap Anwar dibuat dalam konteks menentang kezaliman yang selaras dengan tuntutan Islam dan menjadi teras perjuangan PAS ketika itu.
"Sebaliknya, kunjungan Abdul Hadi adalah untuk membela Najib yang menzalimi rakyat dengan mencuri wang dan bertentangan dengan prinsip Islam, sepertimana firman Allah dalam ayat 113 Surah Hud mengenai perintah mencegah manusia daripada cenderung menyokong kezaliman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ADUN Permatang Pasir itu berkata demikian susulan kenyataan Takiyuddin dalam Dewan Rakyat semalam bahawa tiada yang luar biasa pada kunjungan beberapa pemimpin kanan PAS ke rumah Najib pada hari bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS itu berkata kunjungan tersebut sama seperti apa yang dilakukan Fadzil selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.
Melihat tindak tanduk pemimpin PAS itu tambahnya, timbul kekeliruan mengenai sikap sebenar Islam terhadap pesalah yang disabitkan oleh mahkamah.
"Tindakan PAS itu memberikan isyarat negatif kepada generasi muda yang boleh menganggap jenayah rasuah cuma suatu perkara kecil.
"Justeru, saya mendesak Takiyuddin menarik balik kenyataan tersebut kerana jelas menghina Almarhum Fadzil Noor," katanya.
0 Comments