RAFIZI Ramli mendakwa sekurang-kurangnya sebanyak RM890 juta dana telah diselewengkan daripada pengendalian projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang bermula pada 2011.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, penyelewengan itu antaranya membabitkan tindakan penipuan melalui wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak dan duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda.
Tambah Rafizi lagi, penyelewengan dana itu telah dikenal pasti melalui siasatan dalaman dijalankan terhadap projek tersebut. beliau turut mempersoalkan sikap Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dakwanya berdiam diri dan tidak mengambil tindakan menangani penemuan penyelewengan berkenaan.
“Saya percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishammuddin. Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga Menteri (Pertahanan)yang menandatangani perjanjian tambahan pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini.
“Sebagai Menteri Pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.
“Kenapa beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?” soal bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Projek LCS bernilai RM9.128 bilion dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada tahun 2011 dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.
Bagaimanapun, hingga kini tiada satu pun LCS yang disiapkan dan diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), walaupun perjanjian kontrak pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS 1 iaitu dua buah kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.
Sementara itu Rafizi menegaskan bahawa penyelewengan LCS itu dilihat lebih kritikal berbanding skandal lain pernah berlaku, ini kerana ia memberikan kesan yang pelbagai dimensi termasuk antaranya membabitkan kebajikan perajurit dan sistem pertahanan negara.
Dalam kenyataan sama, Rafizi turut menamakan beberapa pemimpin negara yang menurutnya terlibat langsung dalam projek itu.
Mereka katanya ialah Menteri Pertahanan pada tahun 2011 iaitu Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab mengeluarkan Surat Lantikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina dan membekalkan enam ‘second generation patrol vessels’ (SGPV) LCS dan Hishamuddin sebagai pihak yang menurutnya merunding kontrak akhir bersama BNS pada 17 Julai 2014.
![]() |
Rafizi dakwa Hishamuddin sedar isu yang berlaku |
“Skandal kapal perang terbengkalai ini berlaku di bawah pengawasan dan pengurusan mereka, wajiblah mereka tampil menjelaskan kepada rakyat,” jelasnya.
0 Comments