K'jaan banyak kerja, tak perlu PN tambah resah rakyat - Saifuddin


MENTERI DALAM NEGERI
, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa ahli politik dinegara ini berhenti mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan rasa resah kepada rakyat.

Bercakap kepada media ketika lawatan rasmi dan penyerahan dua unit bot kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada Isnin, Saifuddin mengingatkan ahli politik bahawa rakyat sudah penat untuk berdepan dengan permainan politik jahat terutama dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi semasa.

"Tidak perlu keluarkan kenyataan yang sudah tentu menimbulkan keresahan rakyat, rakyat penat.

"Rakyat sedang menghadapi suasana pasca pandemik, ekonomi negara belum lagi dapat pulih sepenuhnya dan pendapatan rakyat masih terjejas.

"Kita (kerajaan) ada banyak kerja lagi sedang menunggu.Saya fikir cukuplah berpolitik yang berupa berbaur ancaman atau sebagainya. Itu kita selesaikan dalam dewan perundangan. Itu saya fikir lebih bijaksana dan lebih molek," katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Shahidan Kassim kononnya ada ada usaha dilakukan kini supaya Kabinet tidak bertahan lama, Saifuddin menegaskan kerajaan sedang fokus kepada usaha untuk melaksanakan tugas dan beliau tidak mahu memikirkan isu remeh yang dimainkan pihak tertentu.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum ini telah membuat kenyataan terbuka bahawa usul undi percaya kepadanya akan dibuat di Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 19 Disember ini.

Tak adakah simpati kepada nasib rakyat?
Justeru, Saifudin berkata, pembangkang boleh menggunakan ruang itu untuk menyuarakan ketidakpuasan hati secara betul dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.

"Kalau nak dilayan istilah semantik dan sebagainya itu, tak habis kerja kita. Kita tak akan benarkan kerajaan baharu ini terpesong dengan hal picisan sebegitu.

"Kita hanya fokus kepada kerja kerana kita punya tugas serta amanah cukup besar seperti dinasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.

 

Post a Comment

0 Comments