SPRM buka kertas siasatan dana RM600 bilion

 


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki melalui laporan media oleh Bernama.

“Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas ketika ditanya apakah siasatan mengenai dana itu telah dimulakan.

Azam Baki walau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan tersebut.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu membangkitkan kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 ketika pentadbiran Mahiaddin Md Yassin.

Beberapa pihak dari kerajaan kemudian menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kecurigaan perbelanjaan dana tersebut.

Mahiaddin kemudian menafikan melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan. Dia  menyatakan tidak takut untuk disiasat.


Namun disebalik penafian itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Antaranya syarikat yang mempunyai kepentingan 'membabitkan keluarga' turut terbabit dalam penyelewengan perbelanjaan itu.

Benarkan perbelanjaan dilakukan dengan telus?
"Setelah diteliti, sejumlah besar daripada wang itu adalah dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) iaitu wang simpanan hari tua rakyat sendiri dan juga untuk moratorium bank.

"Namun, ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan. Justeru, Mahiaddin, jangan cabar kerajaan kerana ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan membabitkan keluarga turut terpalit," katanya

Beliau berkata menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada agensi berkaitan untuk melakukan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan itu.

Post a Comment

0 Comments