KERAJAAN digesa memberi jaminan tiada hukuman mati akan dilaksanakan sehingga ia menyelesaikan kajiannya mengenai hukuman gantian bagi mereka yang dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Veteran DAP, Lim Kit Siang membuat gesaan itu susulan pengumuman kerajaan yang bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Kerajaan juga secara prinsipnya menerima syor jawatankuasa yang diketuai bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum. untuk mengkaji semula hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori itu.
Walau bagaimanapun Kit Siang turut mahu Putrajaya mendedahkan syor dikemukakan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori itu.
Semalam bekas menteri undang-undang, Azalina Othman Said menegaskan laporan jawatankuasa itu belum didedahkan kepada umum . Ia menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan ahli Parlimen serta rakyat Malaysia.
Sebagai rekod, peruntukan hukuman mati mandatori bermakna hakim tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah yang disabitkan untuk kesalahan tertentu, kecuali jika tertuduh mengalami masalah mental.
Pada masa ini, terdapat 11 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman itu. Ia termasuk kesalahan membunuh dengan niat, mengedar dadah dan memiliki senjata api.
Usaha memansuhkan hukuman mati itu mula diusahakan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).
Pengumuman kerajaan itu turut disambut baik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya dalam kenyatan, pemansuhan hukuman mati mandatori memberikan budi bicara hakim untuk membuat keputusan.
![]() |
Bakal beri kuasa lebih bebas kepada hakim |
“Saya menyokongnya kerana undang-undang semasa memaksa hakim menjatuhkan hukuman tanpa pilihan tetapi dengan pindaan ini, ia memberi ruang kepada hakim untuk meneliti fakta, undang-undang dan bukti bagi menjatuhkan hukuman itu,” katanya.
0 Comments