PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) berjanji untuk melaksana reformasi terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan membenarkan warga Kuala Lumpur mempunyai lebih banyak suara dalam menentukan cara DBKL dikendalikan.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya pada Rabu berkata, usaha reformasi itu dapat dilakukan sekiranya rakyat memberi mandat kepada gabungan itu mentadbir kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang dijadualkan akan berlangsung Sabtu ini.
Jelasnya DBKL pada masa ini tidak mempunyai pengawasan perundangan, walaupun mempunyai peruntukan RM3 bilion - lebih besar daripada peruntukan Selangor, negeri paling maju di negara ini.
"Banyak cabaran yang dihadapi seperti pembangunan yang terlalu padat dan mutu infrastruktur rendah yang berpunca daripada masalah anomali ini.
“Kerajaan Perikatan Nasional-BN lebih berminat untuk melindungi kepentingan kepentingan golongan tertentu dan bukannya kehidupan dan mata pencarian rakyat.
“Kerajaan HARAPAN akan menggalakkan penglibatan orang ramai di semua peringkat melalui platform yang konsisten dan terbuka, terutamanya berkaitan dasar kerajaan tempatan yang memberi impak sebenar kepada kehidupan rakyat,” kata ahli jawatankuasa manifesto HARAPAN itu.
Pada masa yang sama, Nik Nazmi berkata, HARAPAN juga mahu memastikan masyarakat mengambil bahagian dalam proses demokrasi di peringkat kerajaan tempatan.
Tawaran selari kehendak pengundi Kuala Lumpur |
"Usaha ini akan memastikan semua rakyat Malaysia boleh memilih perwakilan yang lebih dipercayai, inklusif dan mewakili rakyat.
"Bagi Kuala Lumpur, perkara ini penting kerana penduduknya hanya memiliki satu undi iaitu Parlimen sahaja," katanya dipetik.
0 Comments