70 profesor Melayu ajak rakyat menangkan Anwar jadi PM


KUMPULAN
70 profesor Melayu yang menggelar diri mereka sebagai G70 secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud berkata, sokongan diberikan itu berdasarkan kredibiliti dan rekod prestasi Anwar yang cemerlang.

Presiden KEADILAN itu juga tegas mereka satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin Malaysia sebagai sebuah negara masyarakat majmuk berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Anwar ada pengalaman dan integriti untuk memimpin masyarakat pelbagai kaum serta meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

“Bersama pasukannya dalam HARAPAN pada PRU15 ini, merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini.

“Kepada kesejahteraan rakyat pada masa hadapan dan dalam masa yang sama menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan pribumi,” katanya pada sidang akhbar Deklarasi Profesor Melayu G70 di Petaling Jaya pada Rabu.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Prof Emeritus Datuk Dr Ir Hassan Basri, Prof Emeritus Dr Abdul Azizi Jemain, Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman dan Prof Dr Saadiah Mohamad.

G70 dianggotai golongan akademik dan profesional yang sejumlah besarnya sudah bersara bagi menangani kemelut politik membabitkan umat Islam negara ini.

Sementara itu Wan Ramli turut menggesa pengundi menolak calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengeksploitasi sentimen agama serta kaum.

Rakyat juga tegasnya perlu menolak calon daripada pakatan politik yang mengkhianati amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan memenuhi kepentingan diri dan kumpulan.

Pada pilihan raya ini jelasnya, rakyat Malaysia mesti menyokong calon yang mementingkan kesejahteraan negara dan rakyat dan memiliki iltizam bagi membina sebuah kerajaan berteraskan prinsip tata kelola yang baik serta bertekad memerangi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.

Anwar individu terbaik pimpin negara
"Negara sedang berdepan pelbagai isu rumit dan kepincangan masyarakat luar biasa yang belum pernah dihadapi sebelum ini dan boleh memporak-perandakan negara.

"Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah peluang terbaik untuk rakyat mengangkat ketua kerajaan yang berwibawa dan dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Post a Comment

0 Comments