Anwar nak saman MB Kedah kerana buat fitnah


PENGERUSI
  Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor telah menghantar surat bagi menuntut Pengerusi Perikatan National (PN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf terhadapnya secara terbuka kerana memfitnah.

Ia berkait ucapan Sanusi dalam satu program Jelajah PN di kawasan Parlimen Tambun pada Isnin.

Surat tuntutan (LOD) bertarikh 15 Nov yang dihantar Anwar melalui peguamnya, SN Nair & Partners itu menyatakan bahawa Sanusi diberi tempoh selama tiga hari dari tarikh penerimaan notis tersebut untuk menjawab mengenai perkara tersebut.

Sekiranya gagal, Anwar akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi.

Selain itu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya untuk parti PAS turut dituntut membuat satu aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam perkataan dan penerbitan berunsurkan fitnah.

Anwar juga mahu ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Sanusi kerana menyebabkan kecederaan serius dan teruk ke atas reputasinya.

“Perkataan tersebut adalah memfitnah terhadap anak guam kami dalam maksud biasa dan semula jadi, pada permukaannya atau dalam apa jua konteks atau sebagainya.

"Anak guam kami juga menuntut daripada kamu, pembayaran semua kos guaman yang berbangkit daripada perkara ini," kata LOD itu.

Sanusi yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah susulan kejatuhan kerajaan HARAPAN di negeri itu ketika berkempen untuk Ahmad Faizal Azumu di Tambun membuat tohmahan yang membawa implikasi atau maksud tersirat.

Ia antara lainnya, bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, pendusta dan pembohong, tidak beretika dan telah mengkhianati mandat rakyat.

Ucapan Sanusi itu yang disiarkan di akaun Facebook Faizal Azumu dan diulang tonton sebanyak 81,000, mendapat 383 komen, 500 reaksi dan 61 perkongsian pada masa surat tuntutan itu dihantar.

Mengikut notis terbabit, video siaran langsung memfitnah itu juga dipetik sebagai laporan berita oleh sebuah portal dalam talian.

Anwar menegaskan bahawa dakwaan dilontar Sanusi itu adalah tidak benar, menyusahkan, pelik, mengelirukan dan tidak wajar sama sekali.

Anwar mahu permohonan maaf dan ganti rugi
Sebagai rekod, Anwar sebelum ini menuntut ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

Ia susulan tindakan calon Perikatan Nasional (PN) itu memfitnahnya dengan menuduh gabungan pimpinan Anwar membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ke negara ini dan mahu menghalalkan perkahwinan sejenis, sekiranya gabungan pimpinannya menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
 

Post a Comment

0 Comments